Carlo Ancelotti Pilih Sebelas Pemain Terbaik Yang Pernah Dilatihnya

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Carlo Ancelotti bukanlah satu nama asing dalam bola sepak dunia, di mana dia boleh dianggap sebagai magnet piala. Kalau Ancelotti melatih satu-satu kelab, kelab tersebut pasti akan memenangi piala. Memulakan karier sebagai ketua jurulatih di Reggiana, Ancelotti mula memenangi piala pertamanya bersama Juventus pada tahun 1999.

Rekod Piala Utama Dimenangi Ancelotti

Juventus

Piala Intertoto UEFA : 1999

Milan

Serie A: 2003–04
Coppa Italia: 2002–03
Supercoppa Italiana: 2004
Liga Juara-juara UEFA : 2002–03, 2006–07

Chelsea

Liga Perdana Inggeris : 2009-10

Piala FA : 2009-10

Paris Saint Germain

Ligue 1 : 2012-13

Real Madrid

Liga Juara-juara UEFA : 2013-14

Copa Del Rey : 2013-14

Sepanjang bersama kelab-kelab di atas, Ancelotti telah melatih ramai pemain terbaik dunia dari posisi penjaga gol sehinggalah bahagian serangan. Berikut adalah 11 pemain terbaik pilihan Ancelotti dari semua kelab yang pernah dia berkhidamat.

Penjaga Gol : Gigi Buffon

Buffon di Parma. Jambu kan?

Ancelotti pernah menguruskan pemain seperti Edwin van der Sar, Dida, Petr Cech, Iker Casillas dan sekarang Manuel Neuer. Namun hanya satu yang bertakhta di hatinya, Gigi Buffon.

Buffon merupakan penjaga gol utamanya ketika di Parma pada tahun 1996 dan 20 tahun kemudian, Buffon masih memegang gelaran penjaga gol terbaik dunia.

Pertahanan Kanan : Lilian Thuram

Thuram menjaringkan dua gol dalam separuh akhir Piala Dunia 1998.

Seorang lagi pemain ketika Ancelotti di Parma. Pemain Perancis ini cukuplah hebat sampai nak gelecek melepasi dia pun hampir mustahil. Juventus menjadikannya sebagai pemain pertahanan termahal dunia pada tahun 2001.

Jika Thuram melihat senarai ini pasti dia akan tersenyum kambing kerana berjaya menewaskan Cafu - dilatih Ancelotti di AC Milan.

Pertahanan Tengah : Fabio Cannavaro

il Kapitano

Cannavaro juga dilatih Ancelotti ketika di Parma. Kuat betul Parma dulu!

Tak pelik jika Cannavaro dipilih berbanding Thiago Silva, Jaap Stam atau Paolo Montero memandangkan Il Kapitano ini sememangnya diketahui kehebatannya di atas padang. Cannavaro juga telah memenangi Ballon d'Or pada 2006, sekali gus menjadikannya pertahanan terakhir yang memenangi anugerah tersebut.

Pertahanan Tengah : Alessandro Nesta

Pakar tackle bola : Nesta

Nesta merupakan pasangan Cannavaro bersama pasukan kebangsaan Itali. Nesta telah menjadi pemain pertahanan termahal di dunia pada tahun 2002 dan bersama Ancelotti, dia telah memenangi Liga Juara-juara sebanyak dua kali.

Pertahanan Kiri : Paolo Maldini

Lagenda yang akan dikenang selamanya.

Nama ini wajib berada dalam senarai ini, atau mana-mana senarai pemain dunia! Siapa yang tidak kenal lagenda dan juga bekas kapten AC Milan ini. Dia mampu bermain di bahagian kiri atau tengah posisi pertahanan.

Pemain Tengah : Clarence Seedorf

Kereta kebal di samping Gattuso

Seedorf ialah superstar dan aksi terbaiknya hadir ketika dibimbing Ancelotti di Milan. Paling diingati bagaimana Seedorf dengan selamba membantai Manchester United di San Siro dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara pada tahun 2007.

Pemain Tengah : Andrea Pirlo

Pemain yang paling cool

Berfungsi sebagai regista di bahagian tengah padang, Pirlo menjadi lambang keunggulan dan ketenangan yang ada dalam diri seorang pemain bola sepak. Hantaran tepatnya sering kali menggugat iman pihak lawan.

Pirlo dipilih mengatasi Xabi Alonso dan Manuel Rui Costa.

Pemain Tengah : Zinedine Zidane

Siapa tak kenal dia Zidane, dia Suarez.

Seperti Maldini, nama Zidane adalah senarai wajib untuk mana-mana senarai pemain terbaik. Zidane menuntut bersama Ancelotti di Juventus. Mengikut jejak langkah Ancelotti, Zidane kini menguruskan Real Madrid dan telah memenangi Liga Juara-juara seperti mentornya.

Pemain Tengah : Kaka

Kaka telah berduet bersama Zizan menerusi lagu Bawa Ku Pergi.

Lupakan prestasinya di Real Madrid dan bawalah kembali aksinya bersama AC Milan di era Ancelotti. Kelincahan, kepintaran dan ketajamannya membolehkan pemain Brazil ini memenangi Ballon d'Or pada tahun 2007. Setiap kali mengingatkan perpindahannya ke ibu kota Sepanyol, air mata jantanku menitis.

Penyerang : Alessandro Del Piero

Permata kesayangan bola sepak Itali

Ancelotti menjadikannya kapten Juventus, dengan lilitan tersebut diambil daripada Antonio Conte. Walaupun dirundung kecederaan, Del Piero masih mampu mempersembahkan prestasi yang memukau.

Penyerang : Andriy Shevchenko

The Destroyer di AC Milan

Pengakhiran karier Sheva di Milan bukanlah satu memori yang indah tetapi sepanjang kariernya bersama Milan, dia telah membuktikan bahawa dia adalah yang terbaik di dunia. Penaltinya pada tahun 2003 membawa Liga Juara-juara ke Milan dan setahun kemudian dia memenangi Ballon d'Or.

Berpindah ke Chelsea adalah satu kesilapan yang cukup besar buat lagenda Ukraine ini.

Pemain Simpanan : Safiq Rahim

Pemain Tengah terbaik yang ada di Malaysia sekarang tetapi sayang beliau telah bersara untuk perlawanan antarabangsa. Hantaran beliau amat maut dan tepat tetapi mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi sehingga kucing pun menyukai beliau.

Jika Chopot lahir di Eropah atau Amerika Selatan sudah tentu perebutan pemain terbaik dunia setiap tahun akan menjadi rebutan tiga penjuru, Messi-Ronaldo-Syafiq. Safiq menjadi pilihan walaupun tidak pernah dilatih Ancelotti. Kelakar kan.




Paparkan Komen