Benzema: Ronaldo Pemain Yang Tamak

Izuddin oleh Izuddin 3 hari yang lalu

Penyerang Real Madrid, Karim Benzema berkata Cristiano Ronaldo lebih tamak daripadanya dalam soal menjaringkan gol tetapi menegaskan hubungannya dengan Ronaldo masih lagi baik.

Bekas penyerang antarabangsa Perancis ini turut memuji Jose Mourinho yang banyak membentuk karier beliau ketika mula-mula menyertai Los Blancos.

Selain itu, Benzema berpendapat Ronaldo lebih tamak daripada beliau ketika berada di depan gol tetapi perkara tersebut tidak menjadi masalah buatnya kerana gol Ronaldo penting buat pasukan.

Benzema dan Ronaldo telah bermain dalam satu pasukan hampir satu dekad dimana mereka berdua menyertai penyandang juara La Liga itu pada musim 2009/10.

Ronaldo Tamak Haloba. Gambar : Goal.com

Ronaldo menyertai Real Madrid dari Manchester United dalam nilai rekod dunia ketika itu manakala Benzema pula tiba dari Lyon dengan jumlah €35juta.

Sejak menyertai kelab Sepanyol ini, Benzema telah merasai pelbagai kejayaan tetapi percaya pencapaiannya telah dilindung oleh Ronaldo.

Walaubagaimanapun, beliau tidak ada masalah mengenai perkara tersebut dan hubungan beliau dan Ronaldo berjalan dengan baik.

Ketika bercakap kepada stesen televisyen Canal+, beliau telah memberikan komen mengenai situasi semasanya bersama Real Madrid dan kontroversi yang menyelubungi beliau.

"Di Real Madrid, saya menjaringkan gol. Akan tetapi apabila ada pemain yang menjaringkan 50 gol semusim di sebelah anda, tiada apa yang mampu anda lakukan. Ia jelas berbeza dengan corak permainan saya ketika bermain bersama Lyon. Saya hanya mahu bermain bolasepak dan memenangi kejuaraan. Saya sedang menikmati bolasepak saya sekarang."

"Hubungan saya dan Ronaldo masih lagi baik. Saya suka bermain dengan beliau. Ronaldo lebih gemar bermain bolasepak dengan satu sentuhan. Beliau lebih tamak dari saya tetapi itu normal. Ia tidak mengganggu saya kerana perkara tersebut banyak membantu pasukan."

Benzema telah bermain bersama Real Madrid selama 9 musim setakat ini dan beliau sendiri terkejut dengan dirinya bagaimana beliau boleh kekal begitu lama di Santiago Bernabeu.

Benzema turut berkata segala kontroversi yang menyelubungi beliau sebelum ini hanyalah ciptaan pihak media untuk menjual surat khabar mereka. Daripada terlalu memikirkan cerita karut mengenai beliau, Benzema berkata beliau lebih tumpu kepada persembahannya di atas padang.

"Saya tidak bayangkan diri mampu kekal bermain di Real Madrid selama 9 tahun. Ketika berada di Lyon, saya hanya membayangkan untuk memenangi pelbagai kejuaraan apabila menyertai Real Madrid. Perkara paling sukar di Real Madrid adalah tekanan yang hadir sebagai pemain.

Gosip mengenai saya? Itu hanya untuk menjual cerita dan saya sudah lali dengannya. Saya hanya fokus kepada bolasepak. Saya sudah belajar untuk menjadi lebih tenang pada usia ini."

Papa Mourinho Dan Papa Vingada Bersahabat Baik

Benzema turut membincangkan mengenai impak Jose Mourinho terhadap kariernya. Pengurus Manchester United ini pernah menguruskan Real Madrid selama 3 musim dari tahun 2010 sehingga 2013, dan Benzema berkata Mourinho bertanggungjawab memperbaiki tahap permainannya.

"Mourinho banyak membantu saya melalui karakter beliau. Beliau gemar memberi tekanan kepada pemainnya dan ia menyebabkan pemain beraksi lebih dari kemampuannya di atas padang. Beliau seorang jurulatih yang bagus."

Setakat musim ini, Benzema hanya mampu meraih satu gol dalam 7 penampilannya bersama pasukan. Real Madrid akan menyambung aksi La Liga dengan berkunjung ke Atletico Madrid dalam derby Madrid.

Benzema hampir pasti akan diturunkan dalam kesebelasan utama dan pastinya berharap mampu menambah koleksi golnya musim ini dalam perlawanan tersebut.




Paparkan Komen