The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Bekas Pemain Manchester United Dan City Tawar Diri Bimbing Malaysia B-23

Encik Bakri pada October 20, 2015

KUALA LUMPUR:Bekas pemain Manchester United dan City, Peter Barnes yang hari ini tampil menyuarakan hasrat mengisi kekosongan jawatan jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia.

“Lebih 25 tahun lalu, Malaysia adalah satu daripada negara terkuat dalam bola sepak Asia, mengenepikan Korea Selatan, Jepun dan Iran. Namun hari ini agak melucukan begitu jauh mereka jatuh,”.

Memetik laporan dikeluarkan ESPN FC, Barnes berkata dia berminat mengambil tanggungjawab itu kerana ingin membantu meningkatkan kembali bola sepak di negara ini yang disifatkan tidak memiliki cukup kepakaran.

“Mereka tidak mempunyai cukup kepakaran atau profesional jadi jika saya dapat membantu dalam apa juga cara, sama ada ia adalah kerja B-23 atau membantu jurulatih asing yang mahukan pengetahuan dan pengalaman saya, saya gembira untuk melakukannya.

” Barnes yang beraksi di posisi sayap bersama City ketika ini berulang alik dari Malaysia ke Manchester, England disebabkan kerjayanya sebagai pengkritik dan pengulas bola sepak di rantau ini dan juga jurulatih di peringkat remaja.

Bekas pemain berusia 58 tahun itu mengakui sudah menghantar surat permohonan bagi mengisi jawatan itu menerusi kakaknya yang berada di Kuala Lumpur.

“Permohonan saya untuk jurulatih B-23 Malaysia dibuat oleh kakak saya, Karen yang memiliki sekolah tarian di Kuala Lumpur.

“Keluarga saya mempunyai hubungan yang kuat dengan Malaysia, bermula sejak bapa saya bekerja sebagai jurulatih remaja di sini lebih daripada sedekad, saya gembira untuk membantu sekiranya mereka memerlukan saya.

” Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengiklankan jawatan Ketua Jurulatih B-23 bulan lalu dengan keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Penyandangnya, Datuk Ong Kim Swee ketika ini memikul tanggungjawab selaku jurulatih sementara pasukan kebangsaan Malaysia dan berdepan tugas berat dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Kim Swee dilaporkan sudah memohon bagi jawatan tetap itu namun Barnes percaya jurulatih asing adalah pilihan terbaik bagi bola sepak di Malaysia.

“Mereka memerlukan jurulatih asing yang juga orang luar untuk memberi mereka idea baharu.

“Menjadi dirinya saja dan membantu pembangunan di peringkat akar umbi daripada peringkat bawahan sehingga tertinggi dan tidak terperangkap dengan permainan politik, seperti sesetengah orang di sini,” katanya.

“Ia tidak memerlukan nama yang hebat. Lihat Arsene Wenger. Dia tidak dikenali ketika tiba di England namun dia kini dianggap salah seorang pengurus terbaik di dunia.

“Malaysia memerlukan seseorang yang boleh memberikan keyakinan kepada pemain-pemain muda. Biar mereka bermain bola sepak dengan senyuman di muka mereka.

Selain City, Barnes pernah beraksi bersama Manchester United dan memiliki 22 penampilan bersama skuad kebangsaan England. – AGENSI


Download aplikasi The Sukan di Google Play