Bekas Bakal 'The Next Cristiano Ronaldo'

Eikrem oleh Eikrem 8 bulan yang lalu

Pemain Belanda, Memphis Depay telah sah menyertai kelab Perancis, Olympique Lyon menerusi satu perpindahan yang dianggarkan bernilai sekitar £16juta. Depay menyertai United dengan reputasi yang cukup tinggi iaitu pemain terbaik Eredivise, namun selepas dua tahun di Old Trafford, nasib Depay bagaikan ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’.

Ya, memang pepatah tersebut tiada kaitan.

Suatu ketika dahulu....

Setibanya di Old Trafford, Depay memakai jersi nombor 7 dan terus digelar The Next Cristiano Ronaldo, tetapi hari ini dia terbukti The Next Djemba-Djemba. Sebenarnya bukan Depay sahaja yang gagal untuk menjadi Ronaldo yang berikutnya dan berikut adalah senarai The Next Ronaldo yang dibeli United untuk menggantikan antara pemain terbaik sepanjang zamannya itu.

Luis Nani

Adik angkat Ronaldo

Tempoh di Old Trafford : 2007-2015

Kelab sekarang : Valencia (La Liga)

Luis Nani sempat bermain dua musim bersama abang besarnya dan sejurus selepas Ronaldo menyertai Real Madrid, Nani diangkat oleh Pak Alex antara muka kekal dalam kesebelasan utama. Namun setelah persaraan Pak Alex, prestasi Nani merudum di sambaing bergelumang dengan kecederaan sehingga memaksanya dipinjamkan ke Sporting Lisbon, sebelum dijual ke Fenerbahce.

Prestasi cemerlangnya dalam Euro 2016 membuka hati Valencia untuk membeli pemain yang pandai buat summersault ini.

Antonio Valencia

Askar Pencen ini sering tuck in ketika di atas padang

Tempoh di Old Trafford : 2009 - kini

Kelab sekarang : Manchester United

Valencia dibeli dari Wigan, sebaik sahaja Ronaldo menaiki kapal terbang. Memakai jersi nombor 25, Valencia diletakkan di posisi sayap kanan dan teknik permainannya mudah sahaja – tolak bola ke kanan dan diikuti cross yang laju. Selepas 8 tahun bermain begitu dengan Syaitan Merah, masih ada lagi yang tidak mampu membca gerakan Valencia ini. Hairan betul.

Sebelum persaraan Pak Alex, Valencia banyak digunakan sebagai pemain pertahanan kanan dan tradisi ini dikekalkan oleh Encik Moyes, Van Gaal dan terbaru, Mourinho.

Bebe

Antara pemain yang paling tak hebat yang pernah dibeli Ferguson

Tempoh di Old Trafford : 2010-2014

Kelab sekarang : Eibar (La Liga)

Ketika seluruh dunia sedang asyik dengan kerja dan aktiviti masing-masing, tiba-tiba angin berita bertiup kencang dari England apabila Pak Alex membeli Bebe dari Vitoria de Guimaraes pada harga £7.4 juta. Detik tersebut menyebabkan seluruh dunia membuka google mencari maklumat siapakah pemain ini.

Semusim di England, Bebe bermain tidak lebih dari 10 perlawanan sebelum dipinjamkan ke Besiktas, dengan pilihan untuk kontrak kekal. Akan tetapi nasib tidak menyebelahi Bebe apabila dia mengalami kecederaan Anteroir Cruciate Ligament (ACL).

Musim-musim berikutnya nasib Bebe tak berubah dan dia terus dipinjamkan kepada kelab lain sebelum kontraknya tamat pada 2014. Menurut cakap-cakap orang, Pak Alex beli Bebe sebab itu adalah syarat yang diletakkan oleh ejennya, Pedro Mendes, untuk membeli David De Gea pada musim berikutnya. Cakap orang laaaaa.

Ashley Young

Pakar bidang terjun

Tempoh di Old Trafford : 2011-kini

Kelab sekarang : Manchester United

Prestasi Ashley Young yang cemerlang bersama Aston Villa membuka hati Pak Alex untuk membawanya ke Old Trafford pada tahun 2011, dua tahun selepas pemergian Ronaldo. Pada awalnya Young dilihat membawa impak positif kepada pasukan, namun segalanya mula berubah selepas Pak Alex bersara.

Dalam era emas Encik Moyes, prestasi Young tenggelam timbul, selain bergelut dengan kecederaan. Pada era platinum Van Gaal pula, Young kerap digunakan sebagai pertahanan kiri. Tak pasti aspek apakah yang dilihat Van Gaal pada Ashley Young ini, selain bakat terjunannya yang semakin hari semakin mantap.

Kini setelah Mourinho mengambil alih, Young lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan banyak kali juga namanya tidak tersenarai untuk skuad 18 pemain. Ada ura-ura mengatakan bahawa Young bakal ke China.

Adnan Januzaj

Hilang punca setelah bapa angkatnya dipecat

Tempoh di Old Trafford : 2013-kini

Kelab sekarang : Sunderland (pinjaman)

Nama Adnan Januzaj melonjak ketika era Encik Moyes pada musim 2013-2014. Moyes selalu memberikan peluang kepada pemain ini untuk memulakan permainan di kesebelasan utama dan kerap kali kepercayaannya dibalas oleh Januzaj.

Panas disangka sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Begitulah nasib Januzaj apabila Moyes dipecat oleh United kea rah penghujung musim tersebut. Pada tahun pertama United di bawah Van Gaal, Januzaj jarang diberi peluang bermain dan pada musim kedua, dia dipinjamkan ke Borussia Dortmund.

Setelah Jose tiba, Januzaj dipinjamkan ke Sunderland, bersatu kembali dengan jurulatih kegemarannya, David Moyes, dan mendapat waktu permainan yang cukup banyak.

Wilfred Zaha

Parti mana malam ni?

Tempoh di Old Trafford : 2013-2015

Kelab sekarang : Crystal Palace

Wilf Zaha dibeli Pak Alex dalam tempoh enam bulan terakhirnya di Old Trafford, sebelum dipinjamkan kembali ke kelab asalnya, Crystal Palace. Zaha kurang bernasib baik kerana memulakan karier Syaitan Merah di era kejatuhan United.

Tambahan pula, kehidupan sosialnya yang bertukar liar dan selalu berparti selepas menyertai United menyebabkan prestasinya di atas padang merudum. Pada tahun 2015, Zaha dijual semula ke Crystal Palace dan kini dapat bermain secara konsisten dengan kelab Helang tersebut.

Angel Di Maria

I came, I swear, I left

Tempoh di Old Trafford : 2014-2015

Kelab sekarang : Paris Saint Germain

Angel Di Maria telah membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara pada musim 2013-2014, namun pada musim berikutnya khidmatnya tidak diperlukan kelab Castille tersebut setelah mereka membeli Toni Kross dan James Rodriguez.

Di Maria membuat kejutan apabila memecahkan rekod pembelian pemain di England dengan menyertai Manchester United di bawah bimbingan Louis Van Gaal, dan memakai jersi nombor 7. Walaupun mahal, Di Maria gagal untuk membawa prestasinya di Real Madrid ke England.

Ketika di Real, Di Maria bebas bermain dalam sistem yang fluid, namun di bawah Van Gaal, pergerakannya terbatas, sekaligus memberikannya tekanan. Tambahan pula cuaca Britainyang sering mendung dan rumahnya dipecah masuk menyebabkan dia hiland fokus.

Selepas semusim, dia menyertai Paris Saint Germain untuk mendapatkan kejuaraan liga dengan mudah.




Paparkan Komen