The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Bayern catat sejarah

Encik Bakri pada October 19, 2015

Berlin: Bayern Munich catat sejarah apabila muncul pasukan pertama menang semua sembilan perlawanan awal Bundesliga selepas ledakan Thomas Mueller pada babak pertama cukup untuk memastikan skuad kendalian Pep Guardiola menewaskan Werder Bremen 1-0.

Mueller mencuri bola di kaki Alejandro Galvez hasil hantaran lintang Thiago Alcantara dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Bremen, Felix Wiedwald untuk gol tunggal perlawanan. Ia jaringan kesembilan pemain itu musim ini.

Pemain yang semakin menyinar, Robert Lewandowski yang setakat ini sudah meledak 15 gol dalam enam perlawanan bersama kelab dan negaranya, gagal untuk menghasilkan sebarang jaringan.

Begitupun, bintang Poland itu berpendapat dia sepatutnya diberikan penalti pada babak kedua selepas dikasari Wiedwald tetapi sentuhan Mueller memadai untuk menghadiahkan kekalahan kelima berturut-turut Bremen dalam aksi Bundesliga.

Kemenangan ke-999 di peringkat Bundesliga buat Bayern itu menjadi tonik terbaik menjelang pertemuan dengan Arsenal pada aksi Liga Juara-Juara, pertengahan minggu ini dan mereka kini tujuh mata mengatasi pencabar terdekat, Borussia Dortmund yang turut menang 2-0 di Mainz, kelmarin.

Begitupun, kemenangan itu belum cukup menggembirakan Guardiola dan beliau menyifatkan anak buahnya tidak bermain pada tahap sepatutnya.

“Pemain kelihatan bergelut untuk mencari ruang. Boleh dikatakan kami menang perlawanan yang sukar,” kata Guardiola yang merehatkan pemain sayap Brazil, Douglas Costa bagi pertemuan menentang Arsenal.

“Kali ini, persembahan kami sekadar memadai saja tapi kami perlu melakukan lebih baik lagi pada minggu akan datang.” – AFP