Bale Ada Jawapan Kenapa Kelab Inggeris Lemau di UCL

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Memenangi kejuaraan UCL bukanlah perkara yang asing buat bintang Real Madrid, Gareth Bale di mana dia telah memenangi piala paling berprestij tersebut bersama kelab ibu kota Sepanyol sebanyak dua kali dalam tempoh tiga tahun.

Pada musim ini Bale dan rakan sepasukan sekali lagi mensasarkan kejuaraan dan lebih manis lagi, perlawanan akhir UCL tahun ini bakal diadakan di kampung halamannya, Cardiff.

Tatkala kelab-kelab Sepanyol dengan senang hati melayakkan diri ke pusingan demi pusingan di UCL, kelab Inggeris pula berhempas pulas. Pada musim ini, Tottenham Hotspur telahpun terkeluar daripada saingan UCL, dan lebih kasihan lagi, mereka juga turut terkeluar daripada saingan Liga Europa.

Dalam tempoh lima tahun, hanya empat pasukan EPL yang layak ke suku akhir UCL.

Arsenal pula telah ditunjukkan jalan keluar dengan cara yang paling hina, dibelasah Bayern Munich dengan aggregat 10-2, manakala Leicester pula tewas tipis kepada Sevilla dalam perlawanan pertama dua minggu lalu. Manchester City kini muncul sebagai harapan kelab Inggeris apabila menang perlawanan pertama 5-3 ke atas Monaco, namun jika Monaco menang 2-0 dalam perlawanan kedua nanti, nasib The Citizens juga bakal terjunam ke dasar lautan.

Sebenarnya kejatuhan kelab Inggeris di peringkat eropah bermula sejak 2012, di mana pada tahun tersebut, Chelsea telah memenangi kejuaraan setelah menewaskan Bayern Munich menerusi penentuan tendangan penalti.

"Aku rasa aku tahu kenapa, tapi kita tak boleh buat apa-apa pun," Bale memulakan bicara ketika ditanya wartawan Daily Mail, sambil bersandar di sofa hitam kulit buatan Cavenzi. Kedua-dua tangannya memegang kemas telefon bimbit Lenovo A3000H sambil kedua kakinya disilangkan.

"Liga tu sendiri yang bermasalah. Setiap perlawanan di Liga Perdana, kau kena cergas 100 peratus selama 90 minit. Kalau tidak, kau kalah," tambah Bale dengan suara tinggi rendah, bagaikan ada dendam yang tersimpul di hatinya terhadap EPL.

Jumlah UCL yang dimenangi Bale lebih banyak daripada jumlah yang dimenangi Arsenal.

"Di Sepanyol, kau boleh mendahului pada separuh masa ketika menentang kelab bawahan dan selepas tu kau dah boleh rehat. Kau boleh rehatkan pemain utama kau dan keluarkan mereka. Tapi kalau kau buat macam ni dalam EPL, kau tak akan menang! Kau faham kan apa yang aku cakap ni?

"Lagi satu, cuti musim sejuk. Di England kau main empat atau lima perlawanan tapi di Sepanyol kami cuti. Kau tak akan dapat cuti yang cukup, lama-lama lepas kau jadi badan kau akan jadi lemau," ulas Bale panjang lebar dengan matanya sekali sekala memandang wartawan sambil jarinya lancar bermain Candy Crush di telefon pintar.

Di Sepanyol, cuti musim sejuk biasanya akan diikuti oleh latihan kecergasan setelah pemain kembali ke kem latihan. Ada juga pasukan yang berlatih di kawasan yang lebih panas seperti di tanah Arab atau Amerika.

Bale turut menafikan dakwaan bahawa dia mempunyai krisis dengan Ronaldo, sebaliknya mereka adalah BFF till jannah.

"Aku memang betul-betul cuti," tambah Bale. Lutut kanannya ditarik menungkat dagunya. Candy Crush ditutup dan Lenovonya diletakkan di tepi paha kirinya.

"Kami cuti tujuh, lapan, sembilan hari. Biasanya aku balik ke Wales untuk jumpa keluarga dan kawan-kawan. Dalam tempoh ini, aku ambil la barang sehari dua hari pergi ke gimnasium atau berlari supaya badan aku tak layu. Tapi, apapun yang penting aku dapat berehat.

"Kalau kau ada tujuh atau 10 hari cuti, kau boleh pergi ke mana-mana yang kau suka dan kau tak fikir pun pasal bola atau latihan selama beberapa hari.

"Bagus juga dapat buat macam ni sebab kau rehatkan badan dan minda kau sekali. Kau tak perlu jumpa Azizan Osman untuk dapatkan mental yang kuat. Pasukan dari Sepanyol tahu yang diorang ada kelebihan ini berbanding pasukan liga Inggeris. Negara lain pun sama ; Itali, Jerman - semua ada cuti musim sejuk.

Beberapa tahun lalu ada cadangan daripada pihak Liga Perdana untuk mewujudkan cuti musim sejuk namun dibantah pasukan dan peminat kerana ini bakal melanggar adat bola sepak mereka yang bermain pada Boxing Day. Bagi orang Inggeris, mereka sanggup mati anak, jangan mati adat.

Disebabkan kelembikan kelab Inggeris di peringkat eropah, UEFA telah mengubah syarat kelayakan dengan memberi slot automatik kepada negara-negara yang berada di tangga empat teratas dalam ranking ahli bersekutu mereka, sekaligus menutup peluang buat pasukan-pasukan dari Belanda, Perancis dan Portugal untuk mendapatkan tempat.

Artikel dipetik dan diolah dari Daily Mail




Paparkan Komen