Athletic Bilbao Umumkan 'Release Clause' Kepa Bernilai £71 Juta Berjaya Dipenuhi

Izuddin oleh Izuddin 3 bulan yang lalu

Athletic Bilbao mengumumkan 'release clause' yang diletakkan dalam kontrak Kepa Arrizabalaga bernilai £71 juta berjaya dipenuhi, bermakna perpindahan Kepa ke Chelsea semakin hampir untuk berlaku.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Athletic Bilbao dalam laman web rasmi mereka, Athletic mengesahkan nilai klausa pelepasan Kepa telah diaktifkan dan kontrak pemain tersebut secara rasmi telah ditamatkan. Kenyataan tersebut tidak menyebut Chelsea sebagai pihak yang berminat untuk mendapatkan Kepa.

Kepa dipanggil menyertai skuad Piala Dunia 2018 Sepanyol tetapi hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang kejohanan.

Penjaga gol berusia 23 tahun ini dijangka terbang ke London dalam masa terdekat ini untuk menyelesaikan segala urusan perpindahan beliau ke Chelsea. Beliau mempunyai waktu yang singkat untuk melakukan perkara tersebut dengan jendela perpindahan akan ditutup pada hari Khamis.

" 'Liga Bola Sepak Profesional' telah mengesahkan kepada kami yang pemain bernama Kepa Arrizabalaga telah memenuhi semua kriteria untuk menamatkan kontrak beliau bersama Athletic Bilbao secara rasmi."

"Sijil yang dikeluarkan 'Liga Bola Sepak Profesional' memberi gambaran bahawa pemain tersebut telah menyatakan keinginannya untuk menamatkan kontrak dan hubungan beliau dengan kelab yang beliau sertai sejak musim 2004/2005. Keseluruhan pampasan dalam kontrak pemain tersebut juga telah didepositkan kepada kami."

Florentino Perez berminat untuk mendapatkan Kepa pada Januari lalu tetapi Zidane lebih sayangkan Keylar Navas.

"Athletic mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada Kepa atas sumbangan beliau terhadap kelab sepanjang bersama kelab ini."

Chelsea bertindak mendapatkan Kepa kerana mereka bakal kehilangan khidmat Thibout Courtois yang ingin meninggalkan Chelsea untuk menyertai Real Madrid. Chelsea enggan membenarkan Courtois berpindah ke Real Madrid selagi mereka belum menemui pengganti yang sesuai.

Dengan perpindahan Kepa semakin menemui penghujungnya, Courtois yang kini masih lagi berada di Belgium dijangka terbang ke Madrid sebaik sahaja perpindahan Kepa dimuktamadkan.

Menurut sumber Sky di Belgium, Courtois dijangka tiba di Real Madrid pada hari Khamis (esok) untuk melakukan pemeriksaan perubatan sebelum diumumkan secara rasmi sebagai pemain Real Madrid yang baru.

Real Madrid mungkin menggunakan pemain tengah Croatia,Mateo Kovacic sebagai 'penyedap' kepada Chelsea supaya melepaskan Courtois ke Santiago Bernabeu. Hati Courtois tidak lagi berada di London dengan beberapa sumber melaporkan beliau gagal melaporkan diri ke padang latihan Chelsea selama dua hari berturut-turut.

Cintaku tertinggal di Madrid

Kovacic sudah menyatakan niatnya kepada Real Madrid yang beliau ingin berhijrah kerana mahu mencari waktu permainan yang lebih kerap.

Courtois mengambil keputusan untuk kembali ke Sepanyol atas faktor keluarga, dimana kedua-dua anaknya kini tinggal bersama bekas teman wanita beliau di Madrid.

Courtois masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya tetapi Chelsea mungkin tidak sanggup untuk kehilangan khidmat pemain tersebut secara percuma tahun hadapan dan mahu mencari sedikit keuntungan dengan menjual Courtois, walaupun pada harga di bawah pasaran.




Paparkan Komen