Arsene Wenger Tahu Kenapa PSG Mahukan Neymar

Eikrem oleh Eikrem 4 minggu yang lalu

Sehari dua ini berita kelab Perancis, Paris Saint Germain ingin mendapatkan penyerang Barcelona, Neymar pada harga hampir £200 juta telah menggegarkan dunia. Bagi orang kebanyakan, mereka mungkin dibelenggu kehairanan maksima kenapa PSG mahu membeli seorang pemain kelas dunia di bahagian serangan sedangkan mereka sekadar beraksi di liga bertaraf Piala FAM?

Persoalan ini dirungkai oleh seorang warga emas Perancis yang telah lama menetap di London, bekerja sebagai pengurus pasukan bola sepak Arsenal, Arsene Wenger.

Wenger berkata segala-galanya ada kaitan dengan pemain di bawah kendaliannya, Alexis Sanchez.

Beberapa minggu sebelum cuba mendapatkan Neymar, PSG terlebih dahulu menghubungi Arsenal untuk mendapatkan penyerang Chile tersebut yang mempunyai baki kontrak setahun bersama kelab London itu. Tambahan pula Sanchez dilihat bersiar-siar sambil makan kebab di bandaraya Paris minggu lalu.

Wenger, walaubagaimanapun, menepis dakwaan ini.

"Tak, aku tak rasa Sanchez pergi Paris. Tak. Paris Saint Germain tak dapat ambil Sanchez, diorang cuba dapatkan Neymar pula," kata Wenger kepada Daily Mirror.

"Aku ada baca L'Equipe tiga empat hari lepas dan diorang dah mula cerita tentang Neymar, dan bukan lagi Sanchez. Dulu cerita pasal Sanchez, sekarang cerita pasal Neymar.

"Lagipun, diorang kena ada modal nak tulis apa.

"Lagipun dah lama dah aku fikir masak-masak. Aku dah kabo yang Sanchez ni bukan untuk dijual dan ini adalah muktamad!" kata Wenger lagi.

Walaupun Wenger kelihatan yakin, minat PSG terhadap pemainnya tidak boleh diambil mudah. Lagipun duit PSG dari Qatar pun belum habis guna lagi, dan mereka dijangka akan membida lagi pemain yang mereka mahukan.

"Bro, kalau kau tak nak gi PSG, aku nak," mungkin itu apa yang diperkatakan Neymar kepada Sanchez dan dijawab "Hanat betul dia ni" dalam hati penyerang Chile tersebut | Gambar : nbcsports.com

Tawaran PSG sebelum ini dikatakan bernilai £35 juta - satu jumlah yang agak murah walaupun Sanchez boleh berpindah secara percuma pada hujung musim depan.

Lagenda England, Alan Shearer ternyata terkejut dengan bidaan tersebut dan telah meluahkan perasaannya di Twitter yang berbunyi "£35 juta! Diorang nak kaki kiri je ke?!!"

Kalau Sanchez berpindah pada musim panas ini, pasukan Arsenal pasti akan huru hara seperti Garuda menyerang Langkawi. Lagi pula dengan kegagalan untuk bermain di Liga Juara-juara, Stadium Emirates  bakal menjadi padang jarak padang tekukur.

Ini kerana sejak menyertai Arsenal dari Barcelona pada 2014, Sanchez telah menjaringkan 53 gol dalam 103 perlawanan liga, jauh mengatasi rakan penyerang yang lain seperti Olivier Gioud (42) dan Theo Walcott (20). Pada musim lepas sahaja Sanchez telah menjaringkan 24 gol dalam 38 perlawanan liga, dan menyaksikan dia muncul penjaring ketiga terbanyak di belakang Romelu Lukaku (25) dan Harry Kane (29).

Setakat ini Arsene Wenger telah membawa masuk dua pemain baharu - penyerang Alexandre Lacazette dan juga pemain pertahanan Sead Kolasinac. Dalam perlawanan pra musim pula Arsenal telah menewaskan Sydney FC, Western Sydney Wanderers, seri dengan Bayern Munich sebelum dibelasah Chelsea 3-0.

Adakah ini bermaksud Arsenal bakal muncul sebagai pasukan yang bertarung mengelakkan penyingkiran pada musim ini? Sama-sama kita tunggu. Kalau tak nak tunggu pun takpe. Tak paksa pun.

Sumber berita : Squawka


Share Tweet


Paparkan Komen