Apa Akan Terjadi Jika Pemain Yang Mendapat Kad Merah Enggan Keluar Padang?

Eikrem 4 bulan yang lalu

Bayangkan dalam perlawanan liga Malaysia, seorang pemain telah menerjah kaki seorang pemain lawan dari belakang dan menyebabkan pemain lawan tersebut terjatuh sambil menyumpah seranah lalu mengalami kecederaan.

Lantas, pengadil liga Malaysia yang cekap terus meniup wisel dan berlari ke arah pemain yang melayangkan kekasaran tadi. Sampai sahaja di hadapan pemain tersebut, pengadil tersebut terus mengambil sekeping kad merah, dan layangkan kepada pemain tadi, dalam keadaan mulutnya muncung ke depan.

Pemain tadi, selaku anak kepada ahli parlimen yang memegang jawatan dalam kabinet menteri kerajaan, berasakan dia mempunyai kuasa untuk melawan kuasa pengadil, sekaligus enggan keluar padang.

Koscielny – antara pemain yang gemar mengumpul kad merah.

Sekiranya perkara ini terjadi, terdapat tiga tindakan susulan yang boleh diambil :

1- Pengadil perlu mengarahkan ketua pasukan agar memberitahu atau memujuk pemain yang dikenakan kad merah tersebut untuk meninggalkan padang. Dalam kebanyakan insiden, kapten berjaya melakukan tugas ini dengan baik.

2- Sekiranya kapten pasukan tersebut enggan atau takut untuk berbuat seperti di atas, maka pengadil akan memberitahu kepada kapten bahawa perlawanan bakal dibatalkan. Ini adalah salah satu bentuk ugutan yang lemah lembut, dan tarbiyah melalui cara tarhib dan targhib.

Hanya kapten boleh bercakap dengan pengadil

3- Jika pemain yang dikenakan kad merah tadi masih enggan keluar padang setelah diberitahu oleh kaptennya, maka perlawanan akan dihentikan serta merta, dan seluruh pasukan akan menerima akibatnya. Selalunya, pasukan yang diwakili oleh pemain yang mendapat kad merah tadi akan dikira kalah.

Namun, jika pemain yang dikenakan kad merah sudi untuk keluar padang secara sukarela, tetapi enggan terus memasuki bilik persalinan, maka pemain ini akan dipaksa untuk terus ke bilik persalinan dan diiringi pegawai keselamatan yang bertugas.