The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Amri Kekal Komited, Di Saat Rakan-Rakan Tenggelam dan Lemas Dalam Kesenangan dan Rela dicucuk Hidung

Encik Bakri pada September 9, 2016

Kasihan Kim Swee. Itulah tajuk artikel yang di tulis oleh Jurnalis Sukan terkenal tanah air Rizal Hashim yang melahirkan rasa simpatinya kepada Ong Kim Swee dan memuji komitmen Amri Yahyah selaku kapten baru Harimau Malaysia di saat rakan-rakan tenggelam dan lemas dalam kesenangan dan rela dicucuk hidung.

Rizal menyifatkan Ong Kim Swee, jurulatih pasukan kebangsaan mangsa politik dan polemik ciptaan manusia dengan motif tertentu yang mempunyai kedudukan istimewa dan dilindungi daripada undang-undang.

Ikuti penulisan penuh Rizal Hashim yang di siarkan dilaman sesawang  Stadium Astro

Kasihan Kim Swee

MEMBACA kenyataan kapten pasukan bola sepak kebangsaan, Amri Yahyah, yang seolah-olah menuntut komitmen lebih tinggi daripada rakan-rakan seperjuangan, penulis berasa simpati.

“Beraksi bersama skuad kebangsaan tak sama beraksi dalam liga kita.” Ringkas tapi padat luahan Amri.

Pada usia 36 tahun, Amri sudah melalui pelbagai fasa sebagai individu dan selaku pemain.

Muncul wira final Piala Malaysia pada usia 21 tahun, dilanda kemalangan yang menafikan penampilan sulung dalam Piala AFF 2002, meraikan tiga kejuaraan bersama Selangor selaku pemanas bangku simpanan pada 2005 dan menewaskan Erwin van der Sar pada 2009, Amri adalah simbol sejati seorang pemain bola sepak yang ulung.

Dia sedar bahawa sebagai pemain yang berkhidmat untuk Allan Harris, Bertalan Bicskei, Norizan Bakar, B. Sathianathan, K. Rajagobal, Dollah Salleh dan Datuk Ong Kim Swee, sikap, disiplin, kemampuan fizikal dan teknikal adalah ciri-ciri yang relevan merentasi zaman.

Kemewahan yang dikecapi di JDT, selepas meninggalkan negeri kelahirannya, tidak mengubah Amri. Bahkan dia dilantik menjadi kapten.

Di saat rakan-rakan tenggelam dan lemas dalam kesenangan dan rela dicucuk hidung, Amri kekal komited kepada misinya.

Kalaulah semua pemain bersikap seperti Amri, separuh daripada tugas jurulatih harus disempurnakan.

Penulis juga berasakan dilema yang dihadapi oleh jurulatih kebangsaan, Kim Swee, gara-gara politik dan polemik ciptaan manusia dengan motif tertentu.

Zaman fitnah-memfitnah ini, cukup mudah menuduh sewenang-wenangnya tanpa bukti, apatah lagi jika anda ada kedudukan istimewa dan dilindungi daripada undang-undang.

Sama ada seseorang itu bersetuju atau tidak dengan pelantikan Kim Swee, adalah menjadi tanggungjawab warga Malaysia untuk memberi sokongan. Teguran, kritikan dan kecaman juga boleh ditafsirkan sebagai sokongan atas dasar sayangkan pasukan.

Namun, selepas melihat anak buahnya tewas 3-0 kepada Indonesia di Solo, Kim Swee merayu agar empat serangkai JDT yang bersara secara mengejut untuk mengubah fikiran.

Aidil Zafuan Abdul Radzak, 29 tahun bulan lalu, sebaya dengan Safiq Rahim manakala Amirulhadi Zainal dan S. Kunanlan pula mencecah usia 30 tahun ini, umur yang lazimnya dianggap kemuncak kerjaya seorang pemain.

Masalah bola sepak Malaysia akan berlanjutan nampaknya.


Download aplikasi The Sukan di Google Play