Alisson Dakwa Liverpool Tidak Berasa Tertekan Dalam Perebutan Kejuaraan Liga

Izuddin oleh Izuddin 4 bulan yang lalu

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker berkata beliau dan rakan sepasukannya yang lain tidak merasai sebarang tekanan walaupun Liverpool sedang bersaing sengit untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun demikian, Alisson sedar tanggungjawab yang digalas seluruh pasukan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu trofi untuk diraikan peminat Liverpool.

No pressure at all ! Fan je gelabah lebih

Liverpool berpeluang untuk merampas kembali takhta liga dari Manchester City sekiranya mereka mengutip 3 mata penuh menentang Cardiff City malam ini. Liverpool kini ketinggalan 1 mata di belakang pendahulu, Manchester City selepas masing-masing melalui 34 perlawanan.

Selepas Cardiff, Liverpool akan melayan kunjungan pasukan yang sudah mengalami relegasi, Huddersfield pada hujung minggu hadapan. Beberapa hari selepas itu, mereka akan mengalihkan tumpuan terhadap saingan Eropah dimana ujian getir menanti mereka di Nou Camp apabila turun berhadapan dengan Barcelona dalam peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Untuk rekod, Liverpool sudah memenangi 18 kejuaraan liga sejak penubuhan kelab tersebut tetapi masih lagi belum berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris sejak ia mula diperkenalkan pada 1992.

Kali terakhir Liverpool memenangi kejuaraan liga adalah pada tahun 1990, 2 tahun sebelum lahirnya Alisson ke muka dunia ini. Lama betul

Kali terakihir Liverpool menjuarai liga adalah pada tahun 1990, dimana Alisson masih belum dilahirkan pada ketika itu

"Ini bukan tekanan." Beritahu Alisson kepada pemberita menjelang pertembungan Liverpool-Cardiff di Wales malam nanti.

"Ia sebenarnya adalah perasaan dimana anda mengetahui wujud kebarangkalian untuk menang, dan juga perasaan tanggungjawab."

"Kami bermain untuk kelab gergasi seperti Liverpool, yang memiliki penyokong yang sangat setia yang begitu dambakan Liga Perdana Inggeris lebih dari Liga Juara-Juara Eropah."

"Jadi kami dapat merasai perasaan tanggungjawab itu. Kami akan menggalas tanggungjawab ini dan cuba bermain sebaik mungkin ketika berada di atas padang."

Liverpool mempunyai maksimum 7 perlawanan untuk diharungi sehingga tamat kempen musim ini dan jika mereka berjaya memenangi kesemuanya, sekurang-kurangnya satu trofi akan berada dalam tangan mereka.

"Jika diikut pada teori, memang cantik. Tetapi realitinya masih banyak kerja keras berada di hadapan kami, bukan hanya 7 perlawanan itu sahaja."

"Ya, kami boleh mara ke final Liga Juara-Juara Eropah tetapi pada masa yang sama kami mempunyai 2 perlawanan separuh akhir dan 4 perlawanan Liga Perdana Inggeris."

"Kami akan berjuang bersungguh-sungguh untuk memenangi 2 trofi ini, tetapi ia akan menjadi satu misi yang sukar. Kami akan menghadapinya satu demi satu dengan penuh tenang."

Alisson yang juga penjaga gol No. 1 Brazil cepat menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris sejak perpindahan beliau pada musim panas lalu.

Alisson menganggap Ederson seperti adik beliau sendiri

Rakan senegaranya, Ederson juga mengharungi musim yang cemerlang dimana kedua-dua penjaga gol ini bersaing sengit untuk merebut 'Sarung Tangan Emas' musim ini.

Dengan liga berbaki 4 perlawanan sahaja lagi, Alisson berada di tangga teratas dengan 18 'clean sheets' tetapi Ederson mengekori rapat dengan 16 'clean sheets'.




Paparkan Komen