Akhirnya Status Pendaftaran Mohamadou Sumareh Terjawab !

Izuddin oleh Izuddin 6 hari yang lalu

Selepas berbulan-bulan berteka-teki, Malaysia Football League (MFL) menerusi laman web rasminya telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status Mohamadou Sumareh dalam Liga Super Malaysia.

Sebelum ini, Pahang telah menghantar permohonan untuk mendaftarkan pemain import, Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Penyokong Pahang sudah boleh menarik nafas lega selepas MFL menerima rayuan untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan.

Ini berikutan pemain tersebut sudah pon mewakili Malaysia dalam peringkat antarabangsa dan mempunyai pasport warganegara yang sah.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang mengesahkan perkara itu berkata, Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima rayuan pasukan Pahang untuk mendaftarkan Sumareh, pemain kelahiran Gambia sebagai pemain tempatan pada Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.

“Peraturan Manual Liga Malaysia menetapkan syarat bagi pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan 5 tahun selepas pemain tersebut mendapat pasport warganegara yang sah.

“Ini bermaksud Sumareh boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan mulai tahun 2023. Walaubagaimanapun, selepas penelitian pihak MFL, Sumareh didapati telah bermastautin di Malaysia sejak umur 12 tahun.

Sumareh antara pemain yang bermain baik dalam Piala AFF Suzuki baru-baru ini

“Selepas perbincangan yang dilakukan, keputusan telahpun dicapai oleh Lembaga Pengarah MFL pada 28 September 2018 untuk membuat pengecualian syarat pendaftaran 5 tahun selepas pemain tersebut mendapat passport warganegara yang sah dan membenarkan Sumareh didaftar sebagai pemain tempatan bukan lagi lima tahun tetapi hanya satu tahun dari tarikh permohonan Pahang iaitu dari 2 Mac 2019.

“Menurut keputusan yang dicapai oleh Lembaga Pengarah MFL pada 28 September 2018 itu, Pahang hanya boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dari 2 Mac 2019.

“Pahang pula kemudian telah membuat rayuan untuk membenarkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam Jendela Perpindahan Pertama oleh kerana tarikh 2 Mac 2019 tersebut adalah tarikh selepas penutupan Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.

Dengan pengumuman ini, Pahang sudah boleh mencari calon import ke-4 yang baru.

“Namun selepas pertimbangan yang sewajarnya oleh Lembaga Pengarah MFL dimana pemain tersebut telahpun mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan lebih-lebih lagi berjaya membawa pasukan kebangsaan ke peringkat akhir Piala AFF 2018, Lembaga Pengarah MFL telah mengambil keputusan untuk membenarkan permohonan kedua pasukan Pahang untuk membenarkan pendaftaran Sumareh dalam Jendela Perpindahan Pertama musim 2019.

“Sebagai suatu usaha yang mempunyai anjakan paradigma ke arah penambah baikkan Liga Malaysia, Lembaga Pengarah MFL percaya bahawa keputusan ini adalah suatu keputusan yang telus dan adil kepada pasukan Pahang dan juga pemain tersebut,” katanya.




Paparkan Komen