The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

AFC Champions League – Kenapa JDT Tidak Layak Secara Automatik

Eikrem pada August 25, 2015

JDT telah dinobatkan sebagai juara Liga Super Malaysia bagi kali kedua berturut-turut, satu pencapaian bersejarah bagi pasukan dari selatan tersebut. Dengan ini JDT akan mewakili Malaysia ke pusingan kelayakan AFC Champions League. Tetapi, kenapa JDT tidak layak secara automatik ke AFC Champions League ke peringkat kumpulan terus?

Jika kita menonton Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga dan Serie A setiap juara liga akan mendapat slot automatic ke peringkat kumpulan Champions League. Malah kelab-kelab dari Jepun, Korea, Iran, Uzbekistan mendapat tempat secara automatic ke ACL. Tetapi, juara liga Super Malaysia terpaksa melalui perlawanan kelayakan yang panjang.

Begini jawapannya.

Dengar sini pak aji nak cerita
Dengar sini Pak Aji nak cerita

Kedudukan Ahli Persatuan Konfederasi Bola Sepak Asia / Member of Association (MA)

Kedudukan MA ditentukan oleh prestasi pasukan kebangsaan dan kelab yang bernaung di bawah sesuatu MA (kalau di Malaysia MA ialam FAM) itu dalam pertandingan anjuran AFC dalam tempoh empat tahun sebelumnya. Ini bermaksud untuk ACL 2016, kedudukan MA ditentukan berdasarkan prestasi pasukan di bawah kelolaannya dari tahun 2012 ke 2015.

Setiap perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan dan kelab dari Malaysia akan menyumbangkan mata. Untuk menentukan kedudukan MA, pasukan kebangsaan menyumbang 30% mata dari mata keseluruhan, selebihnya sumbangan dari kelab. Dalam ranking terbaru keluaran AFC, FAM berada di kedudukan ke-20, dari 47 negara bernaung di bawah AFC.

Ranking ini dikeluarkan AFC pada 6 Ogos 2015
Ranking ini dikeluarkan AFC pada 6 Ogos 2015

Andai JDT dan Pahang mampu untuk melangkah lebih jauh dalam AFC Cup pada tahun ini, mata bagi bahagian kelab bernaung di bawah MA (FAM) akan meningkat dan mampu memberikan sumbangan besar kepada jumlah mata MA (FAM).

Tetapi, memandangkan prestasi pasukan kebangsaan Malaysia yang teruk ; dibelasah Oman dan Palestin 6-0 dan sekadar seri dengan Timor Leste, mungkin akan menyebabkan ranking MA (FAM) kekal atau turun.

Zon Timur dan Barat AFC

Senarai 24 teratas MA akan dibahagikan mengikut zon Timur dan Barat. Malaysia berada di zon timur bersama Jepun, Korea, Singapura dan lain-lain pasukan seperti gambar di bawah.

zon timur
Ranking MA bagi zon timur. Malaysia di kedudukan ke 10.

Manakala untuk zon barat, senarai ranking dan MA adalah seperti di bawah.

Zon barat
Ranking MA zon barat

Mewakili setiap zon, 12 pasukan akan layak secara automatik ke peringkat kumpulan, manakala baki empat pasukan akan ditentukan menerusi perlawanan kelayakan untuk melengkapkan jumlah 32 pasukan yang bertanding.

Slot Kelayakan Secara Automatik

Mengikut zon, MA yang berada di ranking 6 teratas akan mendapat slot automatik ke peringkat kumpulan, manakala baki lagi 6 MA perlu bermain di pusingan kelayakan. Susunan slot automatik ke pringkat kumpulan adalah seperti berikut:

  1. Setiap MA di tangga pertama dan kedua mendapat tiga slot automatik ke peringkat kumpulan, dan satu slot untuk pusingan kelayakan.
  2. Setiap MA di tangga ke tiga dan keempat mendapat dua slot automatik ke peringkat kumpulan dan dua slot untuk pusingan kelayakan.
  3. MA di tangga ke-lima mendapat satu slot automatik ke peringkat kumpulan dan dua slot untuk ke pusingan kelayakan.
  4. MA di tangga ke-enam mendapat satu slot automatik ke peringkat kumpulan dan satu slot ke pusingan kelayakan.
  5. MA di tangga ke-tujuh hingga ke-12 masing-masing mendapat satu slot ke pusingan kelayakan.

Tetapi, AFC menetapkan bahawa jumlah maksimum pasukan dari MA untuk bertanding di ACL ialah 1/3 (satu per tiga) dari jumlah pasukan di dalam liga tempatan.

Ini bermakna walaupun Australia layak untuk mendapat 4 slot ke ACL, Australia hanya boleh menghantar maksimum 3 pasukan kerana hanya ada 9 pasukan di A-League.

Kriteria Untuk Melayakkan Pasukan ke ACL

Walaupun ada pasukan yang mendapat slot automatik ke peringkat kumpulan ACL, pasukan-pasukan tersebut perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh AFC. Keseluruhannya terdapat 11 kriteria, dan setiap kriteria dipecahkan secara lebih mendalam.

a) Organisasi :

Organisasi yang dimaksudkan di sini ialah organisasi liga. Terdapat 13 kriteria organisasi liga yang perlu dipatuhi. Antaranya;

  1. Jumlah minimum pasukan yang bertanding : 10
  2. Jumlah perlawanan liga untuk setiap pasukan dalam liga : 27
  3. Durasi masa bagi keseluruhan liga dan piala : minimum 8 bulan
  4. Durasi masa bagi liga divisyen paling tinggi : minimum 8 bulan
  5. Jumlah pengadil antarabangsa berdaftar dengan MA : 7 orang

b) Asas Teknikal :

Asas teknikal yang dimaksudkan ialah sesuatu MA tersebut perlu berada di antara 24 MA teratas dalam ranking AFC.

c) Kehadiran Penyokong :

  1. Purata harga tiket : tidak percuma
  2. Purata kehadiran penyokong ke stadium : minimum 5000
  3. Kehadiran penyokong ke stadium perlu dikira dengan tepat dan jitu

d) Skala Perniagaan :

Skala perniagaan ini bermaksud sumber kewangan sesuatu pasukan bergantung kepada tiga unsur utama;

  1. Hak media (penyiaran) : pasukan mendapat komisen bagi setiap perlawanan yang ditayangkan di televisyen
  2. Penajaan : pasukan mendapat penajaan dari segi kewangan dari syarikat atau organisasi swasta. Tajaan dari kerajaan tidak diambil kira.
  3. Jualan merchandise : Hasil jualan barangan seperti replica jersi, cendera mata dll.

Selain dari empat kriteria di atas, 7 kriteria lain adalah pengurusan liga atau MA (FAM), promosi dan pemasaran, operasi perlawanan, media, stadium, kelab dan infrastruktur.

Kriteria yang lengkap boleh didapatkan di SINI.

Senarai MA dan jumlah wakil yang layak ke ACL 2016 adalah seperti berikut :

slot barat
Slot untuk MA zon barat

Kelab dari Iraq, Lebanon dan Syria tidak dibenarkan untuk menyertai ACL kerana tidak memenuhi syarat kriteria AFC.

slot timur
Slot untuk MA zon timur

Baca : Persediaan menghadapi penswastaan liga bagi pasukan yang bertanding

Kesimpulan

Bukan senang sesuatu MA itu untuk meningkatkan ranking, tetapi ia tidak mustahil. Pasukan kebangsaan dan wakil negara ke pertandingan di peringkat AFC perlu terus meningkatkan prestasi dan mencapai kejayaan demi kejayaan. Ini penting bagi meningkatkan ranking MA di kalangan 12 MA teratas bagi zon timur.

Sekiranya pemain kita mampu bersaing di ACL yang kini menarik minat scout atau peninjau dari kelab-kelab Eropah, tidak mustahil suatu hari nanti kita mampu untuk mengeksport pemain-pemain berkualiti ke negara  luar dan secara jangka panjangnya, prestasi dan reputasi pasukan Harimau Malaya bakal digeruni. Ketika itu, Piala Dunia bukan lagi satu angan-angan.

Baca juga : FAM bakal untung RM1.26 billion