The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

6 SEBAB KENAPA MALAYSIA MESTI MENEWASKAN TIMOR LESTE DAN PALESTIN DALAM KELAYAKAN PIALA DUNIA

Eikrem pada June 11, 2015

Walaupun venue Piala Dunia 2018 masih menjadi persoalan dan berkemungkinan akan ditukar, kelayakan Piala Dunia 2018 tetap diteruskan.

Malaysia akan bertemu Timor Leste dan Palestin dalam perlawanan pembukaan kempen kelayakan Piala Dunia pada 11 dan 16 Jun 2015 di Stadium Bukit Jalil. Safiq Rahim, Safee Sali, Nazreen Nawi, Amri Yahyah; kesemuanya merupakan pemain kelas dunia. Menentang kedua-dua lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari pasukan Malaysia, kemenangan pastinya menjadi buruan.

Berikut adalah 6 sebab kenapa Malaysia MESTI menewaskan kedua-dua lawan itu.

  1. ‘Size does matter?’

Timor Leste walaupun tidak mempunyai liga bola sepak professional seperti di Malaysia, ramai pemain mereka dinaturalisasi dan kebanyakannya dari Brazil. Secara fizikalnya, walaupun ketinggian lebih kurang serupa, kekerasan badan mereka ibarat Dickson Nwamuso. Lelaki Palestin? Orang Arab. Secara logiknya, fizikal mereka jauh lebih mengatasi umat melayu india dan cina dalam pasukan Malaysia. Sekiranya Malaysia menang, Malaysia mampu membuktikan saiz bukan ukuran.

  1. Pemain Malaysia lebih kaya

Gaji pemain kebangsaan secara puratanya sekitar RM20,000-30,000 sebulan, malah ada pemain yang mendapat gaji sehingga RM80,000.00 sebulan. Berbanding pemain Timor Leste, purata gaji mereka sekadar RM5000-10,000.00 sebulan, itupun kalau bermain di luar negara. Pemain Malaysia mampu beli but sama kelas dengan Leo Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar sepasang setiap hari. Jadi, pastinya skill dan teknik pemain Malaysia lebih bagus dari lawan mereka.

  1. Stadium Nasional Bukit Jalil

Dalam perlawanan akhir Piala FA tempoh hari, padang stadium Bukit Jalil boleh dikatakan sebagai padang kelas dunia. Permukaan yang rata, rumput berkualiti boleh memberi ruang kepada pemain untuk beraksi pada tahap terbaik. Malah SSBJ mampu memuatkan seramai 90,000 penonton dalam satu masa, berbanding 5000 di stadium nasional Dili, Timor Leste, dan juga Stadium Palestin yang hanya mampu menampung seramai 10,000 penonton. Tak guna kalau stadium kelas dunia, tetapi permainan seperti pasukan sekolah rendah kebangsaan bermain di zon MSSD.

Bukit_Jalil_National_Stadium_Malaysia

  1. Menarik kembali penyokong ke stadium

Secara tradisinya, penyokong Malaysia rata-ratanya mempunyai ‘winning mentality’. Sekiranya pasukannya menang, maka stadium penuh. Kalau pasukannya kalah, stadium ibarat masjid-masjid di bulan selain Ramadhan. Sunyi sepi. Setelah Malaysia dibelasah teruk Oman 6-0, dan prestasi terburuk dipamerkan skuad sukan SEA di Singapura dalam tempoh 8 tahun, pastinya peminat bola sepak tempatan dahagakan satu nafas baru dalam bola sepak kebangsaan.

  1. Arab Saudi dan Kuwait menanti

Dua kuasa bola asia – Kuwait dan Saudi. Peluang untuk Malaysia menang agak sukar. Perlawanan menentang kedua-dua negara itu ibarat ‘kita target seri je, menang tu bonus’. Kalau Timor Leste dan Palestine tidak dapat dikalahkan oleh Malaysia, kita boleh lupakan hajat kita untuk sekurang-kurangnya layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018.

  1. Ada apa dengan ranking

Bak kata Pablo Dollah Salleh, orang Jepun hanya gelak bila ditanya tentang ranking pasukan bola sepak mereka. Palestin (118) dan Timor Leste (146) berkedudukan jauh di atas Malaysia (162). Pablo dan anak buahnya perlu buktikan kebenaran kata-kata jurulatih legenda Malaysia, K. Rajagobal bahawa ranking tidak penting. Perlu diingat, sekiranya Malaysia tewas dalam kedua-dua perlawanan ini, ranking Malaysia akan terus merudum seperti nilai ringgit berbanding dollar Amerika dan Singapura.


Download aplikasi The Sukan di Google Play