5 Wonderkid Manchester United Yang Gagal Menyinar

Mohd Hazwan oleh Mohd Hazwan 6 bulan yang lalu

Kelab Manchester United memang terkenal dalam mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda berbakat supaya menjadi pemain bola sepak yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Contohnya seperti pemain Class Of 92 seperti David Beckham, Paul Scholes, Ryan Giggs dan adik beradik Neville yang menjadi tulang belakang kepada pasukan ini selama bertahun-tahun.

Kemudian, kita juga telah menyaksikan bagaimana pemain muda seawal 17 tahun seperti Christiano Ronaldo berjaya mencipta nama dalam dunia bola sepak bersama Manchester United selama beberapa tahun sebelum berhijrah ke Sepanyol.

Namun, tidak semua wonderkid Manchester United yang digembarkan-gemburkan mampu menjadi seorang pemain yang handal ini berjaya mengharungi hari-hari yang indah di Old Trafford. Berikut merupakan lima wonderkid Manchester United yang gagal menyinar.

Dong Fangzhuo

Seawal usia 18 tahun, Dong Fangzhuo merupakan pemain pertama dari Asia Timur yang menandatangani kontrak bersama Manchester United pada tahun 2004.

Disebabkan gagal mendapat permit untuk bermain di England, dia telah dipinjamkan ke kelab di Liga Belgium iaitu Royal Antwerp dan berjaya menunjukkan prestasi yang memberansangkan dengan kekuatan fizikal dan sentuhan penyudah yang baik. Dia  kembali ke Old Trafford pada tahun 2006 setelah urusan permit berjaya diselesaikan.

Namun dia gagal mendapat peluang untuk bermain dalam pasukan utama di Old Trafford disebabkan persaingan sengit dengan penyerang lain seperti Wayne Rooney, Carlos Tevez dan Louis Saha. Dia lebih banyak bermain dengan pasukan simpanan Manchester United dan hanya berjaya bermain sebanyak tiga kali untuk pasukan utama. Akhirnya pada tahun 2008, Manchester United mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Dong dan dia kembali ke tanah air untuk bermain bersama kelab Dalian Shide. Malangnya, dia gagal menjaringkan gol selama dua tahun.

Dia dikhabarkan kini tidak mempunyai kelab dan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam program realiti televisyen di China. Mana-mana kelab Liga Super yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya bolehlah mencuba nasib.

Rodrigo Possebon

Perancang dari Brazil bernilai 3 juta pound ini disebut-sebut sebagai pemain yang mampu memberikan impak untuk pasukan Manchester United. Malangnya dia telah mengalami patah kaki ketika perlawanan Piala Liga menentang Middlesbrough.

Ini menyebabkan dia disisihkan selama beberapa bulan di Old Trafford. Pada musim berikutnya dia telah dipinjamkan ke pasukan Braga setelah hanya tiga kali beraksi untuk Manchester United. Selepas itu dia menyertai Santos di Brazil secara tetap namun bergelut untuk mengembalikan prestasi terbaiknya. Selepas dua musim menyertai Santos, Possebon kembali ke Eropah kali ini bersama kelab Vicenza di Itai namun gagal mendapat tempat bersama pasukan utama Vicenza.

Dia kembali ke Brazil untuk bermain bersama kelab Criciúma, Mirassol, Juventude dan Nautico antara tahun 2012 dan 2014. Kini dia bermain untuk kelab URT dalam Serie D Liga Brazil yang jumlah kapasiti stadiumnya kurang daripada tiga ribu penonton.

Federico Macheda

Macheda membuat kejutan ketika debut pertamanya bersama Manchester United apabila menjaringkan gol kemenangan cantik melalu satu sepakan melencong ketika perlawanan Liga Perdana menentang Aston Villa. Dia baru berumur 17 tahun ketika itu. Dia sekali lagi menjaringkan gol ketika menjadi pemain gantian ketika perlawanan menentang Sunderland dan persembahannya mendapat pujian daripada Sir Alex Ferguson.

Malangnya, Macheda sering dibelenggu masalah kecederaan sehingga menyebabkan prestasinya menurun secara mendadak. Selepas berkelana di beberapa kelab seperti Sampdoria, QPR, Stuttgart, Doncaster, Birmingham, Cardiff and Nottingham Forest, dia kini bermain di kelab Novara di Serie B.

Bebe

Bebe bolehlah dianggap sebagai pembelian paling mengarut oleh Sir Alex Ferguson. Tidak ada satu pun kelab di Portugal ketika itu yang melihat Bebe sebagai pemain berpotensi di kelab Victoria Giumares. Namun penolong pengurus Manchester United ketika itu, Carlos Quieroz beriya-iya memujuk Sir Alex untuk membawa Bebe ke Old Trafford. Sir Alex juga mengaku yang dia tidak pernah melihat Bebe bermain sebelum ini.

Dia hanya membuat tujuh penampilan bersama Manchester United dan berjaya menjaringkan satu gol sebelum dipinjamkan ke beberapa kelab seperti Besiktas, Rio Ave dan Pacos de Fereirra. Kemudian Benfica mengambil risiko untuk mendapatkan khidmatnya pada musim 2015/2016. Keputusan Benfica ternyata satu kesilapan apabila mereka terpaksa  meminjamkannya semula ke kelab lain seperti Cordoba dan Rayo Vallecano. Kini dia bermain dengan kelab Eibar di Liga Sepanyol.

Come on Bebe, you can do it!

Mad Timm

Timm menyertai Akademi Manchester United pada tahun 2000 dan selepas dua tahun, dia berjaya memikat pihak pengurusan untuk menawarkannya kontrak profesional pada tahun 2002. Namun dia sering dibelenggu kecederaan dan sukar mendapat tempat dalam pasukan utama Manchester United. Timm telah dipinjamkan ke kelab Lyn dan Viking di Norway.

Masa depannya di United semakin malap apabila dia dimasukkan ke penjara juvana selama 12 bulan kerana berlumba kereta di jalan raya bersama rakan sepasukan Callum Flanagan. Pada musim berikutnya, dia dilepaskan oleh Manchester United dan kembali ke kelab asalnya semasa remaja, Odense. Setelah gagal mendapat tempat di Odense, dia berhijrah ke Lyngby sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2009 disebabkan kecederaan dan kekurangan motivasi.

Pada tahun 2011, dia kembali bermain bola sepak bersama Kerteminde di Liga Denmark.




Paparkan Komen