5 Sebab Kenapa Real Madrid Muncul Juara La Liga

Eikrem 2 bulan yang lalu

Real Madrid berjaya mengenepikan cabaran seteru utama, Barcelona untuk muncul juara La Liga buat pertama kali dalam tempoh lima tahun. Ini bermaksud kali terakhir Real Madrid memenangi La Liga, Kelantan memenangi trebel.

Tapi kita bukan nak cerita pasal hubungan Kelantan dan Real Madrid.

Dari awal musim, Real Madrid dilihat cukup dominan dan sekali sekala tersebu-sedu dilenyek pihak lawan namun dengan keazaman yang tinggi, Zinedine Zidane berjaya juga merangkul La Liga selaku pengurus, selepas melakukannya sebagai pemain pada awal 2000 dahulu.

Menuju ke perlawanan terakhir menentang pasukan yang mempunyai nama sama dengan Melaka, Malaga, Real Madrid sekadar memerlukan keputusan seri memandangkan mereka mendahului Barcelona dengan tiga mata.

Jaringan Cristiano Ronaldo pada minit kedua secara rasminya telah mengesahkan gelaran juara pasukan Los Blancos, sebelum Bang Karim menambah gol kedua pada minit ke-55.

Berikut adalah lima sebab kenapa Real Madrid mampu memenangi takhta La Liga.

Mental Yang Kuat

Bermotokan ‘agi idup agi ngelaban’, semangat melawan Real Madrid sangatlah dibanggakan dan boleh dikatakan sesuatu perlawanan tidak akan berakhir selagi Real Madrid belum menjaringkan gol.

Pada musim ini, anak buah Zidane berjaya menambah 17 mata hasil jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan. Antara mangsa mereka ialah Celta Vigo, Athletic Bilbao, Deportivo la Coruna, Villarreal, Real Betis, Sporting Gijon dan Valencia.

Pemain yang paling gemar menjaringkan gol pada minit-minit terakhir ini pastilah kapten mereka, Sergio Ramos dan gol paling pentingnya adalah pada bulan Disember, menentang Barcelona.

Kedalaman Skuad

Kedalaman skuad atau squad depth dalam bahasa orang putih, yang dimiliki Real Madrid sememanya wajar dicemburui. Secara totalnya, seramai 20 orang pemain yang telah melengkapkan lebih 1500 minit permainan di bawah Zidane.

Lebih hebat lagi, Zidane selalu meletakkan pemain kelas B mereka untuk perlawanan di tempat lawan menentang Eibar, Leganes, Deportivo, Gijon dan Granada.

Dengan Ronaldo direhatkan dalam perlawanan menentang pasukan di atas, pemain B Real cemerlang mengutip 15 mata maksimum, dan menjaringkan 21 gol.

Prestasi Garang di Tempat Lawan

Buat kali pertama dalam sejarah Real Madrid mereka berjaya memenangi La Liga dengan jumlah mata di tempat lawan melebihi jumlah mata di Santiago Bernabeu.

Kejayaan di La Rosaleda – stadium Malaga, menjadikan Madrid mengumpul 47 mata di tempat lawan, berbanding 46 di tempat sendiri.

Kalau nak ikutkan, Barca mengutip 48 mata di Nou Camp, tetapi mereka kecundang di tempat Celta Vigo, Deportivo dan Malaga.

Rentak Cemerlang Akhir Musim

Selepas Leo Messi menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan ketika pertemuan di Bernabeu bulan lalu, ramai yang menjangkan bahawa Los Blancos akan layu bagaikan teratai di tasik madu.

Namun, anak buah Zidane tidak tunduk kepada tekanan, malah mereka bagaikan batu permata, tekanan menjadikan mereka semakin kuat

Meskipun perjuangan liga mereka sedikit terganggu pertembungan separuh akhir Liga Juara-juara menentang Atletico Madrid, Real masih mampu mendapatkan enam kemenangan berturut-turut dan menjaringkan 22 gol.

Kepala Yang Hebat

Secara rekod, tiada pasukan yang berjaya menjaringkan gol daripada set-piece lebih daripada Real Madrid.

Mereka mempunyai pemain yang boleh menghantar bola dengan sempurna seperti Toni Kroos, Luka Modric, Kiko Insa dan James Rodriguez, dengan Ronaldo, Ramos, Gareth Bale dan Alvaro Morata pula menunggu untuk menanduk bola ke dalam gol,

Keseluruhannya, Los Blancos menjaringkan 27 gol menerusi tandukan dalam La Liga. Banyak tu!

Sumber artikel : Mirror Football