5 Rumusan Hambar Perlawanan Akhir Liga Europa

Eikrem 2 bulan yang lalu

Manchester United telah pun muncul juara Liga Europa selepas menewaskan Ajax Amsterdam 2-0 hasil jaringan Paul Pogba dan juga Henrikh Mkhitaryan dalam perlawanan akhir di Friends Arena, Sweden.

Kemenangan tersebut menjadikan Manchester United pasukan yang kelima berjaya memenangi kesemua piala yang dipertandingkan di eropah – Liga Juara-juara, Cup Winner’s Cup, Piala Super Eropah dan terbaru Liga Europa. Hanya Bayern Munich, Ajax, Chelsea dan Juventus sahaja yang memegang rekod ini.

Kejuaraan ini juga merupakan piala dalam pertandingan peringkat Eropah yang keempat dimenangi Mourinho, setelah memenangi Piala UEFA bersama Porto, dan juga membawa Porto dan Inter Milan menjuarai Liga Juara-juara.

Berikut adalah lima rumusan perlawanan akhir Liga Europa semalam.

Mourinho Tetap Mourinho

Mourinho dikenali sebagai seorang jurulatih yang suka meletakkan bas di hadapan pintu gol. Adakalanya dia menggunakan sebiji bas dan ada ketika dua biji. Kalau kena dengan mood, dia parkir kapal terbang.

Dalam perlawanan akhir semalam, Mourinho dilihat menggunakan taktik yang sama, terutamanya dalam separuh masa pertama di mana mereka banyak bertahan dalam kawasan mereka sendiri, sesekali menghantar bola gelembung buaya yang mengelirukan pertahanan Ajax dan juga Marcus Rashford sendiri.

Namun serangan balas mereka menemukan hasil apabila Pogba dan Mkhitaryan masing-masing menjaringkan gol pada awal separuh masa pertama dan kedua untuk memberikan tekanan kepada Ajax.

Ajax Kilang Pemain Muda

Secara puratanya, usia para pemain Ajax Amsterdam dalam perlawanan akhir Liga Europa ialah 22 tahun 282 hari – paling muda dalam sejarah perlawanan akhir Liga Europa/Piala UEFA.

Ajax memang dikenali sebagai kelab umpama kilang yang melahirkan pemain muda yang kemudiannya menggegar dunia. Sebelum ini Dennis Bergkamp, Edwin Van Der Saar, Patrick Kluivert, Marco Van Basten dan Frank Rijkaard menunjukkan belang dan kini giliran pemain seperti Kasper Dolberg, Davinson Sanchez, Jaïro Riedewald dan Andre Onana pula menyarung jersi putih merah ini.

Pemain muda Ajax yang cemerlang | Gambar : BBC

Malah, kapten mereka, Davy Klassen baru sahaja berusia 24 tahun.

Untuk beberapa musim yang akan datang, ramai daripada pemain ini akan dibeli kelab lain.

Penguasaan Bola Tak Menjamin Kemenangan

Daripada minit pertama sampai tamat separuh masa pertama, pemain Ajax dilihat lebih banyak mengawal bola, berbeza dengan Manchester United yang lebih gemar melambung bola kepada penjaga gol Ajax.

Pemain muda Ajax dilihat cukup selesa mengawal bola. Mereka dilihat cukup cemerlang bermain secara pass and play – selepas menghantar bola, para pemain bergerak mencari ruang untuk memudahkan rakan menghantar bola kembali.

Statistik perlawanan akhir Liga Europa 2017 | Gambar : BBC

Ada yang mengatakan Ajax bermain seperti Arsenal dan kenyataan ini adalah tidak tepat. Pemain Arsenal lebih suka pass and run – selepas menghantar bola mereka akan lari tidak tentu hala bagai dirasuk puaka Nyang Rapik.

Namun, penguasaan bola Ajax rupanya bagaikan bermain bola tanpa matlamat. Dalam separuh masa pertama, mereka hanya sekali berjaya melakukan percubaan tepat, dan jumlah ini meningkat kepada dua percubaan tepat dalam separuh masa kedua. Romero dilihat sibuk bermain Face App dan membetulkan rambutnya yang tidak terusik.

Smalling Bertukar Menjadi Paolo Maldini

Chris Smalling mengharungi musim yang turun naik di mana dia jarang bermain disebabkan prestasi buruk dan juga kecederaan. Namun dalam perlawanan akhir semalam, Smalling dilihat cukup cemerlang mengawal Kasper Dolberg – penyerang Ajax yang cukup tajam.

Smalling sangat kebal | Gambar : Goal.com

Dolberg telah menjaringkan 23 gol sepanjang musim ini selalunya mampu memeningkan pertahanan pasukan lawan. Namun berbekalkan kepintaran dan ketenangan, Smalling dengan mudah mengunci pergerakan Dolberg sampailah Dolberg dikeluarkan pada separuh masa kedua.

Manchester United Tetap Berjaya Walaupun Menghadapi Krisis Kecederaan

Sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, kita dapat lihat ramai pemain Manchester United yang bertongkat masuk ke padang. Zlatan Ibrahimovic, Luke Shaw, Ashley Young, Eric Bailly dan Marcos Rojo dilihat memegang terhincut-hincut masuk ke padang untuk menambut bersama pemain lain.

Sumber gambar : Copy dari group sebelah

Pada awalnya ramai yang meramalkan bahawa United tidak akan mampu mara lebih jauh kerana masalah kecederaan ini namun berbekalkan kepintaran Jose Mourinho menyusun pasukan dan para pemain, United berjaya menggondol piala yang kedua pada musim ini, sekaligus melayakkan mereka bermain di peringkat kumpulan Liga Juara-juara UEFA pada musim depan.