5 Pengurus Tersohor Yang Tidak Pernah Bermain Bola Sepak Profesional

Mohd Hazwan oleh Mohd Hazwan 4 bulan yang lalu

Kebanyakan pengurus atau jurulatih pasukan bola sepak di seluruh dunia mempunyai latar belakang sebagai seorang bekas pemain bola sepak profesional pada satu ketika dahulu.  Namun, terdapat juga beberapa pengurus hebat yang hanya bermain untuk kelab bola sepak amatur ataupun  tidak pernah bermain bola langsung. Walaupun tidak pernah menempa nama sebagai seorang pemain profesional, mereka berjaya membawa pasukan mereka mengecapi pelbagai kejuaraan sama ada di peringkat kelab dan juga antarabangsa. Mari kita lihat beberapa pengurus  tersohor dari spesis yang jarang-jarang kita jumpai ini.

Gerard Houlier

Gerard Houlier merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan dia berjaya melanjutkan pelajaran  dalam bidang Bahasa Inggeris. Namun, dia terpaksa berhenti dari universiti dan menjadi guru Bahasa Inggeris demi menjaga ayahnya yang sedang sakit ketika itu. Berkat semangat dan usaha tanpa putus asa, dia menyambung semula pengajiannya dalam bidang Bahasa Inggeris secara separuh masa dan berjaya mendapatkan segulung ijazah.

Ketika menjadi guru pembantu di Alsop Comprehensive School, Houlier telah menonton perlawanan Liverpool buat kali pertama. Dia seterusnya menjadi Penolong Guru Besar di École Normale d’Arras sehingga berusia 26 tahun sebelum menumpukan kerjayanya dalam bidang bola sepak bersama kelab amatur Le Touquet sebagai pemain dan juga pengurus pasukan.

Antara kejayaannya ialah menjuarai Ligue 1 bersama dua kelab yang berbeza iaitu bersama Paris Saint German pada musim 1985/1986 dan dua kali bersama Lyon pada musim 2005/2006 dan musim 2006/2007. Peminat-peminat Liverpool pasti terkenangkan jasa Houlier ketika memenangi treble setelah Liverpool berjaya menjulang Piala FA, Piala Liga dan juga Piala EUFA pada musim 2000/2001.

Barang lepas jangan dikenang!

Carlos Alberto Parreira

Siapa sangka bekas jurulatih kecergasan ini berjaya mengurus 5 negara dalam kejohanan Piala Dunia iaitu Kuwait (1982),  Emiriah Arab Bersatu (1990), Arab Saudi (1998), Brazil (1994 & 2006) dan juga Afrika Selatan (2010). Salah satu pasukan tersebut iaitu Brazil berjaya menjuarai Piala Dunia 1994 Amerika Syarikat di bawah kendaliannya.

Selain itu dia juga berjaya memenangi dua edisi Piala Asia, Piala Konfederasi dan juga Piala Copa America. Menurut Parreira, satu-satunya sebab dia mengambil keputusan untuk menceburi bidang kejurulatihan ialah kerana dia merasakan dirinya sangat layak untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak

Bill Struth

Seorang tukang batu bernama Bill Struth mula menempa nama dalam bidang olahraga sebagai pelari jarak sederhana sebelum dilantik menjadi trainer di kelab bola sepak Clyde dan seterusnya Hearts sebelum menyertai Rangers sebagai Penolong Pengurus.

Setelah Pengurus Rangers ketika itu iaitu William Wilton terkorban dalam satu kemalangan bot, Struth telah mengambil alih jawatan Pengurus Rangers pada tahun 1920. Sejak itu, Rangers menjadi satu pasukan yang sangat-sangat handal. Sepanjang 34 tahun Struth mengendali pasukan tersebut, Rangers telah memenangi 18 Kejuaraan Liga, 10 Piala Scottish dan 2 Piala Liga.

Sebagai mengenang jasa Struth kepada pasukan Rangers, satu tugu gangsa telah dibina di Ibrox Stadium.

Arrigo Sachi

Ketika ramai peminat dan pemerhati bola sepak meragui kebolehannya ketika dilantik sebagai Pengurus pasukan kebangsaan Itali pada Piala Dunia 1994. Dia dengan selamba mengeluarkan kenyataan seperti ini "Saya tidak pernah tahu untuk menjadi seorang jockey yang handal, kamu perlu dilahirkan sebagai seekor kuda.

Sachi memulakan kerjaya sebagai seorang pengurus untuk kelab amatur tempatan bernama Baracca Lugo disebabkan dia tidak mendapat menjadi pemain pasukan tersebut kerana kurang handal bermain bola. Dia juga meneruskan kerjayanya sebagai seorang penjual kasut.

Setelah bekerja di beberapa kelab profesional untuk menguruskan pasukan belia, dia berjaya menarik minat kelab Parma untuk mendapatkan khidmatnya sebelum prestasi cemerlang bersama Parma menarik minat pemilik AC Milan, Silvio Berlusconi.

Musim pertama Sachi bersama AC Milan berakhir dengan kejuaraan Serie A pada musim 1987-1988 dan memenangi Piala Eropah dua tahun berturut-turut pada tahun 1989 dan 1990.

Guy Roux

Seawal umur 23 tahun, Roux telah dipilih untuk memjadi pengendali merangkap pemain kepada sebuah kelab amatur iaitu Auxerre di Perancis pada tahun 1961  Daripada sebuah kelab yang tidak dikenali langsung, Roux berjaya melakukan transformasi kepada pasukan Auxerre apabila berjaya layak ke final Coupe de France dan menjadi juara Ligue 2 pada tahun 1979.

Selain itu, Auxerre juga terkenal sebagai kelab yang melahirkan pemain bola sepak yang handal seperti Eric Cantona, Laurent Blanc, Djibril Cisse dan Phillipe Mexes.

Roux bersara daripada menjadi pengurus Auxerre pada tahun 2005 selepas 44 tahun bersama kelab tersebut.

Ada Impian Menjadi Pengurus?

Anda ada impian untuk menjadi pengurus tersohor seperti mereka? Mulakan hari anda dengan bermain Football Manager untuk mengetahui selok-belok pengurusan sebuah kelab bola sepak. Jangan risau walaupun anda merupakan kaki bangku. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


Share Tweet


Paparkan Komen