5 Pemain Harapan Asia Di Eropah – Tiada Kagawa Atau Okazaki Dalam Senarai!

Seladang Tacts Amirul oleh Seladang Tacts Amirul 6 bulan yang lalu

Asia sentiasa penuh dengan bakat tersembunyi. Anda pernah lihat Park Ji-Sung beraksi baik di Manchester United dan Lord Fakri Saarani menjadi pemain terbaik di Norwich City.. ehh… Kedah! Apa yang pasti, Asia sentiasa menjanjikan pemain berbakat buat liga-liga utama di Eropah sehingga ke hari ini.

Oleh itu, saya menyenaraikan 5 pemain harapan yang mampu menyinar di Eropah seperti Cha Bum-Kun, Park Ji-Sung, Shunsuke Nakamura dan Hidetoshi Nakata. Anda tidak akan melihat nama-nama seperti Kagawa, Okazaki dan Jedinak memandangkan saya menyasarkan kumpulan umur ‘harapan’ iaitu 25 tahun ke bawah! Jadi, siapakah mereka?

1. Son Heung-Min (Korea Selatan/Tottenham Hotspurs)

Son Heung-Min berasal dari Chuncheon, Wilayah Gangwon dan dia bermain di bahagian sayap dan penyerang. Dia juga merupakan salah seorang pemain terkemuka daripada Asia yang bermain di English Premier League. Pada penghujung usia pensabunannya, dia berhijrah keluar daripada Korea Selatan dan beraksi untuk Hamburger SV selama dua tahun.

Seawal usia 18 tahun, dia bermain untuk skuad utama Hamburger SV dan seterusnya ke salah satu kelab pertengahan liga, Bayer Leverkusen pada usia 21 tahun. Disebabkan dia beraksi sangat baik di sana, Tottenham terus menikahinya dengan mas kahwin 22 juta Euro dan kini, dia salah seorang pemain utama Tottenham. Rekod kelabnya ketika ini ialah 52 gol daripada 184 penampilan secara professional setakat ini.

2. Yuya Kubo (Jepun/KAA Gent)

Yuya Kubo merupakan penyerang bagi KAA Gent dan Jepun dan berasal daripada Yamaguchi, Jepun. Pada usia 16 tahun, Yuya Kubo bermain untuk kelab terkemuka Jepun, Kyoto Sanga dan berhijrah ke Switzerland untuk mewakili pasukan Young Boys. Beraksi baik di Young Boys, KAA Gent pula mendapatkan khidmatnya.

Sepanjang 6 tahun bermain secara professional, dia berjaya menjaringkan 49 gol daripada 177 penampilannya bersama kelab-kelab yang diwakilinya. Bagi peringkat antarabangsa pula, Kubo berjaya menyumbangkan 6 gol dalam 14 penampilan bersama skuad senior dan skuad bawah 23 tahun Jepun.

3. Takuma Asano (Jepun/VfB Stuttgart (Pinjaman))

SUITA, JAPAN - JUNE 07: Takuma Asano of Japan in action during the international friendly match between Japan and Bosnia and Herzegovina at the Suita City Football Stadium on June 7, 2016 in Suita, Osaka, Japan. (Photo by Atsushi Tomura/Getty Images )

Diumumkan sebagai pembelian kedua Arsene Wenger kepada Arsenal, pemain yang berusia 23 tahun ini bermain di bahagian penyerang dan sayap kanan. Pemain ini berasal daripada Komono, Wilayah Mie, Jepun. Memulakan kariernya bersama pasukan sekolah tingginya, Asano bermain di salah sebuah kelab terkemuka Jepun, Sanfreece Hiroshima pada usianya 19 tahun.

Setelah menghabiskan masa 3 musim bersama Sanfreece Hiroshima, Asano pun dirisik oleh Arsene Wenger dan disahkan bermain untuk Arsenal pada awal musim 2016/2017. Namun, impian Asano untuk mewakili Arsenal pada musim ini hancur apabila dia dipinjamkan ke VfB Stuttgart. Setakat ini, dia mencatatkan 15 gol daripada 80 penampilannya bersama kelab-kelab disertainya.

4. Ali Adnan (Iraq/Udinese)

Berbeza dengan pemain-pemain sebelum ini, Ali bermain di bahagian pertahanan kiri  dan digelar ‘Roberto Carlos Iraq’ kerana terkenal dengan gaya pertahanannya yang kental dan keupayaan serangannya yang bagus. Ali Adnan juga pernah dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Asia pada 2013.

Berusia 24 tahun, Ali banyak menghabiskan masa di negaranya dan hanya berhijrah keluar daripada Iraq pada 2013. Di Turki bersama Caykur Rizespor, dia berjaya menjaringkan 3 gol daripada 41 penampilannya. Tertarik dengan aksinya di Turki, Udinese Calcio mendapatkan khidmatnya pada 2014 dan berjaya menjaringkan satu gol daripada 37 penampilannya setakat ini.

5. Lee Seung-Woo (Korea Selatan/Barcelona B)

Jika di Malaysia, kita ada Farhan Roslan sebagai ‘Messi Kedah’, Lee Seung-Woo pula digelar ‘Messi Korea Selatan’ oleh media Korea Selatan. Namun begitu, dia bukanlah nama besar dalam dunia bola sepak antarabangsa bahkan di Eropah. Ironinya, Seung-Woo merupakan pemain akademi La Masia dan ketika ini mewakili Barcelona Juvenil A/Barcelona B.

Berusia 16 tahun ketika menyertai La Masia, dia dan 8 pemain akademi dilarang untuk mewakili Barcelona sehinggalah berusia 18 tahun pada 6 Januari 2016. Jadi, bagaimana saya menilai kehebatannya? Ketika mewakili skuad kebangsaan Korea Selatan bawah 17 tahun dan bawah 20 tahun, dia berjaya menjaringkan 15 gol daripada 25 penampilannya! Prospek masa depan Asia ni!

Akhirulkalam daripada saya, harapan saya agar Asia terus gah di dunia terus menyala disebabkan oleh pemain-pemain ini. Adakah mereka akan menjadi yang terbaik suatu hari nanti? Sama-sama kita nantikan!

Nah, aku belanja satu gambar kehebatan!




Paparkan Komen