5 Anak Pemain Terkenal Yang Bakal Menggegar Dunia

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Bola sepak dunia pada tahun 1990-an dilimpahi dengan bakat-bakat yang luar biasa, dari posisi penjaga gol sehinggalah ke pemain di bahagian serangan. Nama-nama seperti Diego Simeone, Paolo Maldini, Georghe Hagi dan Patrick Kluivert menjadi zikir di bibir peminat pada zaman tersebut.

Dua puluh tahun berlalu, kini giliran generasi anak mereka pula untuk membuktikan adakah mereka mampu untuk mengikut jejak langkah bapa masing-masing. Berikut adalah enam anak pemain bola sepak yang dikatakan bakal menggegar dunia.

Justin Kluivert

Tak sukar untuk mengagak siapa bapanya yang sah - Patrick Kluivert. Pemain bersusia 17 tahun ini kini bermain dengan kelab sensasi Belanda, Ajax Amsterdam - kelab yang memang dikenali menghasilkan ribuan pemain muda yang hebat. Bermain di sayap kanan, Kluivert telah mewakili Belanda bawah-15 dan bawah-18 setakat ini, dan dilihat mempunyai potensi untuk mewakili pasukan senior Belanda dalam masa terdekat.

Pada tahun 1995, bapanya menjaringkan gol kemenangan perlawanan akhir Liga Juara-juara ke atas AC Milan, pada usia hanya 18 tahun. Kalau si anak mahu mengulangi sejarah bapanya, dia perlu meninggalkan kelab Amsterdam tersebut. Harap-harap dia tak jadi seperti Memphis Depay lah.

Christian Maldini

Bapanya, Paolo, merupakan bekas kapten AC Milan dan Itali. Datuknya pula Cesare bekas kapten dan jurulatih AC Milan dan Itali. Secara ringkasnya, Christian memikul tugas yang berat untuk menyambung legasi Maldini.

Apabila Paolo bersara daripada bermain untuk AC Milan pada 2009, selepas 24 tahun bersama kelab tersebut, jersi nombor 3 turut dipencenkan bersama, melainkan salah seorang daripada anaknya - Christian dan Daniel.

Namun, Christian telah meninggalkan Milan untuk ke Reggina, sebelum dihantar secara pinjama ke kelab Malta Hamrum Spartan. Berat betul tugas nak galas nama bapa.

Giovanni Simeone

Siapa lagi kalau bukan anak jurulatih Atletico Madrid sekarang, Diego Simeone. Giovanni kini bermain untuk kelab Serie A, Genoa yang disertainya selepas River Plate, pada Ogos tahun lalu. Bermain di bahagian serangan, Gio muncul penjaring terbanyak Kejohanan Bola Sepak Belia Amerika Selatan pada 2015.

Bersama Genoa, Gio telah menjaringkan 10 gol dalam 20 perlawanan, termasuk dua gol ketika menang ke atas Juventus pada November 2016. Ada ura-ura mengatakan bahawa Diego Simeone bakal berhijrah ke Inter Milan, dan jangan terkejut jika Giovanni turut serta ke kelab tersebut.

Ianis Hagi

Pemain berusia 19 tahun ini telah dibeli Fiorentina musim panas yang lalu, setelah mengetuai pasukan bapanya Viitorul Constanta dalam liga divisyen satu Romania sejak berusia 17 tahun. Rakyat Romania sememangnya berharap dia mampu mengulangi reputasi bapanya, Georghe, sebagai seorang penyerang yang cukup ditakuti dan telah mewakili Romania sebanyak 125 kali dan menjaringkan 35 gol.

Setakat ini Ianis telah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan buat pasukan bawah 19 Romania dari posisi sayap. Jika prestasi ini dikekalkan Ianis berpeluang cerah untuk mengikut jejak langkah bapanya.

Leroy Sane

Mungkin ramai yang telah mengenali nama ini memandangkan dia kini bermain bersama Manchester City, selepas berpindah dari Bayern Munich pada harga £37 juta - cukup tinggi untuk pemain berusia bawah 20 tahun. Bapanya, Souleyman Sane turut bermain di Bundesliga sekitart tahun 1980-an sehingga 1990-an, mewakili Feriburg, Nurnberg dan Wattenscheid.

Meskipun bapanya mewakili negara asal mereka, Senegal, Leroy memilih untuk mewakili Jerman dan setakat ini dia telah melakukan empat penampilan sejak 2015. Jika segalanya berjalan lancar, Sane mungkin bakal bergelar lagenda bola sepak Jerman, setaraf Jurgen Klinsmann dan juga Miroslav Klose.

Enzo Fernandez

Pemain ini merupakan anak kepada ketua jurulatih dan lagenda Real Madrid - Zinedine Zidane. Enzo menggunakan nama akhir ibunya kerana tidak tahan menanggung kehebatan nama bapanya Zidane. Enzo kini bermain untuk Castilla. Nama Enzo sebenarnya dipilih kerana bapanya cukup meminati bekas pemain River Plate dan Uruguay, Enzo Francescoli.

Meskipun masih belum mampu untuk menempatkan diri dalam skaud utama los Blancos, Enzo telah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia bakal menjadi seperti ayahnya - botak dan hebat. Selain Enzo, tiga adiknya turut bermain di pasukan muda Real Madrid - Luca, Theo dan Elyaz.


Share Tweet


Paparkan Komen