4 Peraturan Marco Van Basten Yang Bakal (Dan Telah) Mengubah Takrif Bola Sepak

Seladang Tacts Amirul 2 bulan yang lalu

Marco Van Basten. Generasi Z, Alpha dan Beta pastinya kurang mengenali penyerang berbisa daripada Belanda ini. Untuk makluman semua, Marco Van Basten telah menjaringkan 218 gol daripada 280 penampilan kariernya untuk Ajax dan A.C Milan yang berakhir pada 1995, ketika beliau berumur 28 tahun. Dia juga telah disenaraikan dalam ‘Pele’s FIFA 100’ pada 2004.

Mangekyou Sharingan! Gambar Ihsan : Dream Team

Namun, persetankan semua pencapaian dan kehebatannya ketika menjadi pemain dahulu! Sejak Marco Van Basten dilantik sebagai Pengarah Umum Pembangunan Teknikal pada September lalu, FIFA di bawah pimpinan Gianni Infantino (pakcik Aiman Tino barangkali?) telah mengumumkan serta mengusulkan beberapa peraturan baru hasil adaptasi sukan lain.

Penulis berpendapatan bahawa peraturan-peraturan tersebut amat melampaui batas dan mampu mengubah sepenuhnya takrif bola sepak yang berbunyi :

Football, The Beautiful Game! – Stuart Hall, 1958

Dimanakah ‘kejelitaan’ sukan ini apabila peraturan-peraturan tersebut digunapakai? Bagaimanakah dengan identiti asal sukan kegemaran dunia ini? Apakah peraturan-peraturan tersebut? Berikut adalah peraturan-peraturan mengarut tersebut :

1. ‘Sin Bin’ – Hukuman Kepada Pelaku Kesalahan Diringankan?

Termenung ku sendiri, mengenang rindu tidak menentu…. Gambar : Daily Mail UK

Seperti yang pernah ditulis oleh saudara Eikrem pada 4 bulan lalu dalam artikelnya, “Sin Bin Bakal Diperkenalkan Dalam Bola Sepak”, ‘sin bin’ atau terjemahan Bahasa Melayu langsungnya, ‘tong dosa’ merupakan sejenis hukuman yang diadaptasi daripada sukan ragbi dan sukan hoki. Pelaku akan dilayangkan kad kuning dan pelaku akan duduk termenung, melihat kesungguhan rakan-rakannya di ‘tong dosa’ sambil berharap tempoh hukumannya akan berakhir dengan cepat.

Kenapa saya katakan peraturan ini mengarut? Menurut apa yang saya sempat telaah sebelum menulis artikel ini, hukuman ini akan dikenakan kepada pelaku yang sengaja mengasari pemain lawan dan jika berulang, akan dikenakan kad merah! Berbeza dengan sukan hoki, bola sepak merupakan sukan yang agresif dan pastinya, jumlah para pemanas bangku ‘tong dosa’ akan bertambah. Mengarut, bukan?

2. Penghapusan Ofsaid – Kembali Ke Zaman Kuno Bola Sepak!

Pemain paling banyak gol ketika ofsaid. Massive Respect! Gambar : The Telegraph UK

Ofsaid merupakan satu faktor penting kenapa sukan ini menjadi salah satu sukan yang berdisiplin di dunia. Kewujudan ofsaid sememangnya membantu pertahanan (dan juga menjerat mereka) dalam mempertahankan serangan pihak lawan. Ofsaid juga membantu seseorang penyerang untuk kekal berwaspada dengan kedudukannya agar tidak terjerat dengan perangkap ofsaid.

Namun, bagaimana rasanya jika ofsaid dihapuskan? Mangsa keadaan di sini ialah para penjaga gol kerana mereka terpaksa berdepan dengan penyerang-penyerang prolifik di depan gawang seperti Jamie Vardy (Leicester), Dybala (Juventus) dan ‘Lord’ Bendtner (Rosberg). Tindakan ini serupa seperti bermain bola sepak kuno dengan formasi 1-2-7! Nampaknya, betullah bahawa penjaga gol bakal menjadi ‘Spiderman’ sebenar selepas ini.

3. Cabaran ‘Take-On’ Bakal Gantikan Sepakan Penalti – Mudahnya Menjaringkan Gol?

Inilah contoh penalti sukan hoki. Gambar : Pinterest

Apa itu cabaran ‘take-on’? Cabaran ‘take-on’ merupakan salah satu cara bagaimana penalti diambil dalam sukan hoki. Pemain haruslah berdepan dengan penjaga gol secara 1 v 1 dan pemain tersebut boleh terus memukul bola hoki atau menggelecek terlebih dahulu untuk menyempurnakan penalti tersebut. Jika diaplikasi ke dalam sukan bola sepak, cabaran ‘take-on’ lebih mudah! Kenapa?

Kita kena ingat 3 elemen utama ketika sepakan penalti; penendang, penjaga gol dan gawang gol. Jika penendang itu Heskey, tidak mengapalah namun jika ianya Cristiano Ronaldo? Tidakkah penjaga gol tersebut akan terkial-kial, mengagak apa yang cuba dilakukan sang penendang. Tambahan pula, gawang gol sukan bola sepak adalah 2 kali lebih luas berbanding penjaga gol maka ianya memudahkan cabaran ‘take-on’ dilakukan!

4. Sistem Kesalahan Bola Keranjang – Selamat Tinggal, Pepe!

Hiyarkkkk! Gambar : Courier Mail AU

Sistem kesalahan bola keranjang telah dikemaskinikan dan Marco Van Basten menjangkakan perubahan ke arah kebaikan jika sistem kesalahan bola keranjang tersebut digunapakai di dalam sukan bola sepak. Sistem kesalahan tersebut telah menggariskan satu perkara penting iaitu pemain yang melakukan 5 kesalahan akan dibuang padang! Anda sudah faham kenapa saya mengucapkan selamat tinggal kepada Pepe, bukan?

5 kesalahan, tidak kiralah lembut atau kasar, tidak sengaja atau sengaja, akan dikenakan tindakan disiplin tersebut. Nampakkah anda, implikasi jika peraturan ini digunapakai dalam bola sepak, terutama sekali apabila pasukan tersebut memiliki pertahanan yang ‘ganas’ seperti Gattuso dan Pepe? Maka, sukan bola sepak akan menyaksikan banyak perlawanan dianugerahkan ‘bye’!

Apakah pandangan anda terhadap peraturan baharu FIFA ini? Tindakan tepat atau mengarut? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah!