10 Perpindahan Januari Terpenting Dalam Sejarah Liga Perdana Inggeris

Eikrem oleh Eikrem 7 bulan yang lalu

Jendela perpindahan bulan Januari sudah hampir ke penghujungnya dengan kelab di liga-liga utama eropah seperti biasa, jendela musim sejuk tidak semeriah perpindahan di musim panas.

Antara perpindahan yang menjadi perhatian Januari 2017 ialah :

Gabriel jesus  - Palmeiras ke Manchester City  (£27juta)

Morgan Schneiderlin – Manchester United ke Everton (£24juta)

Jose Fonte – Southampton ke West Ham (£8juta)

Rizal Ghazali – Kedah ke Felda (U-turn)

Jeffrey Schlupp – Leicester City ke Crystal Palace (£12.5juta)

Dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, ada beberapa perpindahan musim sejuk yang sangat penting dan memberikan impak kepada pasukan bukan setakat dalam jangka masa pendek, malah dalam jangka masa yang panjang. Berikut adalah 10 perpindahan musim sejuk terpenting dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Gary Cahill

Perpindahan : Bolton ke Chelsea

Nilai : £7juta

Tahun : 2012

Cahill tiba di Stamford Bridge ketika Chelsea di bawah bimbingan Andre Villas Boas - yang dikatakan The Next Mourinho - dan terus berjaya menempatkan diri di kesebelasan utama The Blues, berpasangan dengan John Terry. Empat bulan kemudian, Cahill membantu Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, menewaskan Bayern Munich di Allianz Arena. Sejak hari itu, Cahill juga terpilih secara automatik sebagai pertahanan tengah skuad kebangsaan England juga digandingkan dengan Terry. Harga £7juta memang berbaloi!

Nemanja Matic

Perpindahan : Benfica ke Chelsea

Nilai : £21juta

Tahun : 2014

Ketika muda, Matic telah bermain untuk Chelsea, namun tidak berjaya menempatkan diri di kesebelasan utama dan menyebabkan pengurus Chelsea ketika itu, Carlo Ancelotti menjualnya kepada Benfica, sebagai tukaran kepada pertahanan, David Luiz. Pada tahun 2012, kembalinya Jose Mourinho ke Stamford Bridge menyaksikan Matic dibawa kembali ke Chelsea dan menjadi pemain yang cukup cemerlang. Kekuatannya ketika bertahan, diadun dengan ketenangan ketika memegang bola menjadikan Matic sebagai rangka utama Chelsea dalam memenangi liga pada musim 2014-2015.

Javier Mascherano

Perpindahan : West Ham ke Liverpool

Nilai : £18juta

Tahun : 2007

Permulaan hidup yang sukar buat Mascherano di England di mana dia kelihatan agak gagal untuk menyesuaikan diri di West Ham. Pengurus Liverpool ketika itu, Rafel Benitez, ketika itu sedang memerlukan seorang pemain tengah untuk digandingkan dengan Xabi Alonso, lantas membuat keputusan untuk membeli pemain Argentina ini. Percaturan Benitez ternyata berhasil. Bersama Xabi di bahagian tengah, Mascherano membantu Liverpool untuk layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah sebelum tewas kepada AC Milan 2-1 di Athens, Greece. Setelah Benitez meninggalkan Anfield, Mascherano berhijrah ke Barcelona untuk merasai kejuaraan liga.

Ashley Young

Perpindahan : Watford ke Aston Villa

Nilai : £8juta

Tahun : 2007

Young ketika itu digelar The Next Messi dengan larian laju dan gelecekan padu bersama Watford. Prestasinya itu mendorong pengurus Aston Villa ketika itu, Martin O'Neil untuk berbelanja membawanya ke Villa Park dan tindakan ini membuahkan hasil positif. Young bergandingan dengan James Milner dam  Agbonlahor di bahagian serangan dan membantu Villa menduduki tangga keenam untuk tiga musim berturut-turut. Pada tahun 2011, Pak Alex telah berjaya membawa Young ke Manchester United di mana dia telah memenangi gelaran liga dan Piala FA.

Clint Dempsey

Perpindahan : New England Revolution ke Fulham

Nilai : £2juta

Tahun : 2007

Jarang kita dapat lihat pemain dari Amerika Syarikat, selain penjaga gol, yang berjaya mencipta nama di England, kecuali Clint Dempsey. Tiba ke London dari New England untuk menyertai rakan senegara Brian McBride dan Carlos Bocanegra di Craven Cottage, Dempsey dengan segera menempatkan diri ke skuad utama Fulham. Jaringan pertamanya untuk Fulham yang juga gol kemenangan ke atas Liverpool lims bulan kemudian telah menyelamatkan Fulham dari tersingkir ke divisyen 2. Dempsey kekal di Fulham selama lima musim dan antara pengalaman paling manis pastinya menewaskan Juventus dalam perlawanan Liga Europa.

Nemanja Vidic

Perpindahan : Spartak Moscow ke Manchester United

Nilai : £7.2juta

Tahun : 2006

Nemanja Vidic muncul antara pembelian terbaik Pak Alex sepanjang hampir 30 tahun bertugas sebagai pengurus Manchester United. Vidic telah membentuk gandingan kebal bersama Rio Ferdinand di benteng pertahanan United dan telah memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan juga telah diangkat menjadi kapten selepas persaraan Gary Neville. Pada tahun 2014, Vidic telah menyertai Inter Milan dan sejak itu, ramai yang tidak perasan bahawa Vidic sebenarnya belum bersara, meskipun jarang bermain.

Mikel Arteta

Perpindahan : Real Sociedad ke Everton

Nilai : £2juta

Tahun : 2005

Pada musim panas 2004, Real Sociedad telah menjual Xabi Alonso kepada Liverpool dan pada musim sejuk 2005, sekali lagi pemain Sociedad menyertai satu kelab di Liverpool iaitu Everton di bawah bimbingan pengurus lagenda, David Moyes. Arteta dengan cepat telah menyesuaikan diri dengan rentak liga Inggeris dan membantuEverton menamatkan liga di tangga keempat pada musim tersebut. Musim berikutnya, kempen eropah Everton terhenti awal apabila tewas kepada Villareal dalam pusingan kelayakan. Arteta berjaya menempatkan diri sebagai pemain kesayangan peminat Everton sebelum berpindah ke Arsenal pada 2011.

Patrice Evra

Perpindahan : Monaco ke Manchester United

Nilai : £7juta

Tahun : 2006

Evra menyertai United setelah lama Pak Alex merisik khabar dan mendengar khabar berita tentang prestasi pemain ini di Ligue 1. Dalam perlawanan debutnya buat United, Evra hanya beramain selama 40 minit sebelum dikeluarkan oleh Pak Alex dek prestasinya yang sangat buruk. Akan tetapi peristiwa itu tidak melemahkan semangat Evra dam dia telah bangkit dan muncul tonggak utama United selama bertahun-tahun, mengenepikan pemain muda dari Brazil, Fabio. Pada musim panas 2014, Evra telah menyertai Juventus.

Christophe Duggary

Perpindahan : Bordeaux ke Birmingham

Nilai : Pinjaman, sebelum mendapat kontrak kekal.

Tahun : 2003

Christophe Duggary adalah antara pemain yang telah membantu Perancis memenangi  Piala Dunia di laman sendiri pada tahun 1998. Pada 2003, pengurus Birmingham telah membawa pemain veteran ini ke St. Andrew's untuk membantu menyelamatkan pasukan tersebut turun liga. Hasilnya,Duggary telah menjaringkan lima gol dalam enam peralawanan terakhir liga sekaligus mengekalkan Birmingham di divisyen tertinggi. Duggary telah ditawarkan kontrak tetap, akan tetapi, Duggary sekadar menjaringkan satu gol pada musim 2004-05.

Luis Suarez

Perpindahan : Ajax ke Liverpool

Nilai : £22.5juta

Tahun : 2011

Suarez dibeli dari kelab Belanda, Ajax dengan reputasi yang tinggi sebagai pemain yang rajin dan tajam di depan gol. Bersama Liverpool, Suarez telah membawa pasukan The Reds ini sebagai pencabar utama kejuaraan liga, terutamanya pada musim 2013-14. Pada musim ini, Suarez telah menjaringkan 31 gol dan membawa Liverpool muncul naib juara liga di belakang Manchester City. Gandingannya bersama Raheem Sterling dan Daniel Sturridge pada musim tersebut adalah yang terbaik dalam sejarah Liverpool. Namun, pada tahun 2014, demi mengejar kejuaraan dan piala, Suarez telah mememilih untuk menyertai Barcelona dengan yuran perpindahan £75juta.




Paparkan Komen