10 Pemain Mahal Yang Gagal Menyerlah Musim 2016/2017

Mohd Hazwan 2 bulan yang lalu

Setiap kali menjelangnya musim baru liga bola sepak di seluruh dunia, kebanyakan kelab bola sepak akan berlumba-lumba mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan pemain yang terbaik untuk bermain dengan pasukan mereka. Penyokong pula akan teruja menanti siapakah pemain yang bakal dibawa masuk oleh pihak pengurusan.

Namun seperti lirik lagu nasyid kumpulan Hijjaz “Hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah”, ada juga pemain-pemain yang berharga mahal ini gagal menunjukkan taring sebenar bersama pasukan baru. Mungkin disebabkan faktor persekitaran dan rindu kepada masakan negara asal menyebabkan mereka gagal menyesuaikan diri.

Gabigol (Santos Ke Inter, €29.5  Juta)

Sumber Gambar: Goal.Com

Pemain muda Brazil berusia 20 tahun ini datang ke San Siro harapan yang tinggi. Penyokong kelab menyangkakan dia bakal menjadi “The Next Neymar”. Malangnya, Gabigol hanya mampu menjaringkan 1 gol dari 9 perlawanan bersama Inter dalam Serie A. Walaupun dia masih lagi hijau dan mempunyai banyak masa lagi untuk membuktikan kemampuannya, pihak pengurusan Inter sudah tidak boleh bersabar lagi dan dia mungkin akan kembali ke kelab lamanya di Brazil atau dijual ke kelab lain.

Andre Schurrle (Wolfsburg Ke Borussia Dortmund, €30 Juta)

Sumber Gambar: Daily Mail

Pemenang Piala Dunia 2014 bersama Jerman ini berpindah ke Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan yang agak lumayan setelah prestasi cemerlang bersama Wolfsburg. Bekas pemain Chelsea ini cuma mampu menjaringkan 2 gol dalam lapan penampilan dalam Bundesliga.

Renato Sanches (Benfica Ke Bayern Munich, €35 Juta) 

Sumber Gambar: Goal.Com

Renato Sanches merupakan salah seorang prospek yang baik dalam dunia bola sepak selepas kejayaan membantu Portugal memenangi Euro 2016. Dia sering digunakan sebagai pemain gantian pada musim ini dan dirasakan kurang menyerlah. Pengendali Bayern Munich, Carlos Ancelotti masih memikirkan strategi untuk menguatkan jentera tengah selepas persaraan Xabi Alonso.

Andre Gomes (Valencia Ke Barcelona, €35 Juta)

Sumber Gambar: Goal.Com

Pemain antarabangsa Portugal ini menunjukkan persembahan yang cemerlang sehingga Barcelona sanggup mendapatkannya dengan harga 35 juta pound namun persembahannya sepanjang musim cuma boleh dianggap biasa-biasa sahaja. Peminat Barcelona mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada pemain ini pada musim depan.

Islam Slimani (Sporting Lisbon Ke Leicester, €30 Juta)

Sumber Gambar: Sky Sports

Slimani hadir ke England dengan rekod jaringan yang menggiurkan bersama Sporting Lisbon. Pemain antarabangsa Algeria ini berjaya menjaringkan 27 gol dari 33 perlawanan sebelum menyertai The Foxes dan dijangka memberi saingan kepada Jamie Vardy di jentera serangan. Namun dia hanya mampu menjaringkan 7 gol dari 23 penampilan bersama Leicester menjadikannya pembelian yang kurang berbaloi.

Lucas Perez (Deportivo ke Arsenal €20 Juta)

Sumber Gambar: Teamtalk.Com

Perez hanya mampu menjaringkan 7 gol dari 21 penampilan bersama Arsenal namun gagal memberikan impak yang besar kepada pasukan dengan Arsenal gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Selepas satu musim yang menghampakan, pemain ini dijangka dijual ke kelab lain pada musim depan.

Vincent Janssen (AZ Ke Tottenham, €20.1 Juta)

Sumber Gambar: Goal.Com

Pemain ini digembar-gemburkan sebagai “the New Ruud van Nistelrooy” oleh media Belanda. Namun musim pertamanya bersama Spurs sangat menyedihkan. Pemain ini hanya menjadi pemain simpanan kepada penjaring gol terbanyak Liga Perdana Inggeris, Harry Kane. Walaupun kadang kala diturunkan dalam kesebelasan utama, dia kelihatan bergelut untuk menjaringkan dengan hanya 2 gol daripada 27 penampilan.

Jese (Real Madrid Ke Paris Saint-Germain, €25 Juta)

Sumber Gambar: Metro.Co

Pemain ini mempunyai rating yang agak tinggi ketika bersama Real Madrid. Perpindahannya ke PSG dengan harapan mampu mendapatkan lebih banyak peluang bermain namun dia hanya membuat satu penampilan bersama kelab tersebut sebelum dipinjamkan ke Canary Islanders Las Palmas.

Claudio Bravo (Barcelona Ke Manchester City €18 Juta)

Sumber Gambar: Bole.Net

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola membawa masuk Claudio Bravo sebagai salah satu perancangan untuk menggantikan Joe Hart sebagai penjaga gol City. Malangnya, Bravo lebih banyak membuat kesilapan budak sekolah dan tidak masuk akal.

Michy Batshuayi  (Marseille Ke Chelsea €39 Juta) 

Sumber Gambar: Sportanews.Com

Walaupun Batshuayi menjaringkan gol untuk memastikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris menjadi milik Chelsea tempoh hari namun penyerang Belgium ini tidak nampak seperti seorang penyerang bernilai 40 juta pound. Dia hanya menjadi kesebelasan utama Chelsea sebanyak satu kali sepanjang musim ini dan lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.

Kau orang siapa antara sepuluh orang ini yang paling kurang berbaloi?

Sumber: Goal.Com