10 Pemain Asia Termahal di Eropah

Eikrem oleh Eikrem 2 bulan yang lalu

Bola sepak Eropah sejak dulu lagi menggamit ramai pemain dari Asia telah mencuba nasib memperagakan bakat demi mencari sesuap nasi. Ada yang berjaya sehingga mencipta nama sebagai pemain kelas dunia, dan ada juga yang sekadar melukut di tepi gantang.

Pemain-pemain Asia ini ada yang dibeli pada harga juta-juta Euro atau Pound Sterling, melebihi harga pemain mat saleh tuan tanah bumi Eropah.

Berikut adalah 10 pemain Asia yang termahal dari segi yuran perpindahan.

Park Ji-Sung : PSV Eindhoven ke Manchester United, 2005 - €5 juta

Park Ji-Sung mula mencipta nama ketika Piala Dunia 2002 di tanah air sendiri, membantu negara Pahlawan Daeguk tersebut menamatkan kejohanan di tangga keempat. Dia kemudiannya mula berhijrah ke Eropah, menyertai PSV Eindhoven di Belanda, menyertai jurulatihnya di pasukan kebangsaan Korea, Guus Hiddink.

Pada tahun 2005 dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara ketika menentang AC Milan, Ji-Sung menawan hati para peminat bola sepak di eropah apabila dia dengan bersahaja mengkucar-kacirkan pertahanan Milan yang terdiri daripada Paolo Maldini dan Alessandro Nesta.

Walaupun PSV kalah perlawanan tersebut, Park menarik minat kelab gergasi England ketika itu, Manchester United dan musim berikutnya, Park menyertai pasukan bimbingan Alex Ferguson.

Pada mulanya pembelian Park ini dilihat sekadar untuk tujuan pemasaran di rantau Asia semata-mata, namun selepas tujuh tahun, Park cukup konsisten membantu Syaitan Merah memenangi empat Liga Perdana dan satu Liga Juara-juara, sebelum mengakhiri kariernya sebagai pemain Asia paling berjaya di Eropah.

Harry Kewell : Leeds United ke Liverpool, 2003 - €6 juta

Kalau nak kira, nilai perpindahan ini sepatutnya lebih tinggi, memandangkan Kewell ketika itu merupakan antara pemain sayap yang terbaik di EPL bersama Leeds United, malah dia juga telah memenangi anugerah pemain muda terbaik selain dipilih dalam pasukan tahunan PFA pada tahun 2000.

Namun selepas tersingkir ke Liga Kejuaraan, Leeds bagaikan hilang punca dan mereka melepaskan pemain-pemain utama pada harga yang rendah, antaranya ialah Harry Kewell.

Kariernya bersama Liverpool walaubagaimanapun tidak menjadi seperti yang diharapkan kerana sering mengalami kecederaan termasuk dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara pada tahun 2005 menentang AC Milan.

Dalam perlawanan tersebut, Kewell diletakkan dalam kesebelasan utama tetapi dikeluarkan pada separuh masa pertama kerana cedera.

Seperti yang kita tahu, Liverpool menampilkan kebangkitan agung pada separuh masa kedua. Nampak sangat Kewell punca.

Selepas itu Kewell membawa diri ke Turki mewakili Galatasaray, singgah di Qatar sebelum bermain bersama dua kelab di Australia dan bersara pada usia 35 tahun.

Mat Ryan : Club Brugge ke Valencia, 2015 - €6.3 juta

Ryan mula menyertai kelab Belgium, Club Brugge selepas tampil cemerlang bersama kelab Australia, Central Coast Mariners.

Dia muncul sebagai penjaga gol terbaik di Liga Belgium selama dua musim berturut-turut. Pada tahun 2015, Ryan dibeli Valencia dan menandatangani kontrak selama enam tahun.

Walaubagaimanapun kemajuannya tersekat-sekat dek kecederaan yang kerap menghantui dirinya dan pada masa yang sama Diego Alves beraksi di tahap terbaiknya menyebabkan Ryan banyak diturunkan dalam pertandingan piala.

Ki Sung Yeung : Celtic ke Swansea, 2012 - €8.2 juta

Bintang Korea Selatan ini naik secara berperingkat. Sebelum tiba di EPL, Ki telah membantu Celtic memenangi Liga Scotland dan Piala Scotland.

Pada tahun pertamanya bersama Swansea, dia telah membantu kelab Wales tersebut menjulang Piala Liga apabila menewaska Bradford City 5-0 di Wembley.

https://www.youtube.com/watch?v=VYSkibrIfak

Pada musim berikutnya dia dipinjamkan ke Sunderland, juga membantu kelab ini mara ke perlawanan akhir Piala Liga sebelum dikecewakan Manchester City. Ki juga membantu Swansea kekal di EPL pada musim tersebut.

Dek prestasi yang cemerlang tersebut, Swansea telah membawanya semula ke Liberty dan menjadi pemain utama kelab tersebut sehingga hari ini.

Mark Viduka : Celtik ke Leeds United, 2000 - €8.5 juta

Senang cerita, kalau perpindahan ini berlaku sekarang, harga Viduka pasti mencecah harga pembelian Gonzalo Higuain oleh Juventus, dek ketajamannya di hadapan gol.

Viduka tiba di Britain untuk bermain bersama Celtic dan memenangi anugerah pemain terbaik liga dalam musim pertamanya di Glasgow. Musim berikutnya, David O’Leary dari Leeds United membawanya ke Elland Road untuk memperkuatkan lagi jabatan serangan mereka.

Gandingannya bersama Alan Smith dan Harry Kewell ternyata membuahkan hasil yang cemerlang dan kariernya di Leeds menyaksikan Viduka muncul antara penyerang yang paling digeruni. Paling diingati, Viduka menjaringkan empat gol ketika Leeds menewaskan Liverpool 4-3.

Pada tahun 2001 Leeds menjejakkan kaki ke separuh akhir Liga Juara-juara, namun sejurus selepas detik gemilang tersebut Leeds mengalami masalah kewangan yang teruk menyebabkan kelab ini terpaksa menjual pemain-pemain bintangnya termasuk Viduka.

Keisuke Honda: VVV-Venlo ke CSKA Moscow, 2009 – €9 juta

Honda mula menyertai kelab Belanda, VVV-Venlo, pada tahun 2007. Dek cukup disayangi peminat, Honda digelar Keiser Keisuke’ yang bermaksud Maharaja Keisuke.

Kehebatanyya membuka pintu gergasi Russia, CSKA Moscow untuk membawanya ke negara bekas Soviet pada tahun 2009 dan Honda menggunakan peluang ini untuk menunjukkan kepada Eropah bakatnya.

Dalam perlawanan Liga Juara-juara menentang Sevilla, Honda menjaringkan gol menerusi satu tendangan percuma yang cantik dalam pusingan 16 pasukan dan perlawanan tersebut adalah yang kedua buat dirinya dalam kejohanan liga bola sepak terbesar dunia.

Sebelum berpindah ke AC Milan pada tahun 2014, Honda membantu CSKA Moscow memenangi liga dan piala liga.

Sehingga ke saat ini, Honda masih kekal sebagai pemain utama AC Milan.

Shinji Okazaki: Mainz ke Leicester City, 2015: €9.5 juta

Penyerang Jepun ini membuktikan bahawa dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dalam mana-mana liga utama di eropah selepas menjaringkan 27 gol dalam 65 penampilan buat kedua-dua pasukan Bundesliga, Stuttgart dan Mainz selepas berpindah dari Shimizu S-Pulse.

Rekod ini mendorong Leicester City untuk membawa pemain ini ke England dan membantu The Foxes mencipta sejarah teragung bola sepak di England apabila menjuarai EPL di bawah kendalian Claudio Ranieri.

Pada musim tersebut sahaj, Okazaki telah bermain sebanyak 36 perlawanan.

Shinji Kagawa: Borussia Dortmund ke Manchester United, 2012 – €16 juta

Karier bola sepak Kagawa bermula agak awal apabila dia disunting Cerezo Osaka ketika masih lagi bersekolah menengah.

Kagawa menarik perhatian dunia bola sepak pada tahun 2010 apabila menyertai Borussia Dortmund. Dua tahun pertamanya di Signal Iduna Park boleh dikatakan sangatlah berjaya di mana dia memenangi Bundesliga dua kali, dan memenangi kejuaraan berganda pada tahun 2012.

Sejak itu, Kagawa muncul sebagai pemain tengah yang menjadi buruan kelab-kelab terkemuka Eropah.

Dalam banyak-banyak kelab yang masuk meminang, Manchester United menjadi pilihannya dan Kagawa menjadi pemain Asia pertama menjaringkan hatrik di EPL pada musim di mana United muncul juara liga tersebut.

Selepas Alex Ferguson pencen, penggantinya David Moyes mengatakan bahawa Kagawa tiada dalam perancangannya dan pemain antarabangsa Jepun ini kembali ke Dortmund pada tahun 2014, ketika United dikendalikan Louis Van Gaal.

Hidetoshi Nakata: Roma ke Parma in 2001 – €26 juta

Hidetoshi Nakata adalah satu nama yang cukup gah pada awal tahun 2000 dan dia juga boleh dikatakan sebagai trendsetter kepada pengambilan pemain-pemain bola sepak dari Asia ke pentas Eropah.

Nakata memulakan karier di Jepun pada pertengahan 1990an dan dia menjejakkan kaki ke Eropah buat pertama kalinya dengan menyertai Perugia di Itali. Prestasi yang cemerlang membuatkan Roma bersetuju membawanya ke kota Rom di mana dia lebih kerap digunakan sebagai back up kepada lagenda Francesco Totti.

Walaubagaimanapun, setiap kali diberi peluang, Nakata pasti akan melakukan keajaiban dan paling diingati adalah pada musim 2000-01 di mana dia telah menjaringkan gol yang cantik dan penting membantu Roma menewaskan Juventus pada penghujung musim.

Memandangkan dia tidak mendapat minit permainan yang memuaskan, Parma terus membeli pemain ini.

Nakata membantu Parma memenangi Coppa Italia pada tahun pertamanya bersama kelab tersebut akan tetapi, tempohnya berkhidmat bersama Parma tidaklah begitu memuaskan dek kecederaan yang berulang kali melanda dirinya.

Selepas dua tahun, Nakata berpindah ke Bolton sebelum bersara pada usia 29 tahun dan meneruskan kariernya sebagai seorang model.

Son Heung-min: Bayer Leverkusen ke Tottenham Hotspur, 2015 – €30 juta

Kisah perjalanan karier Son agak berbeza berbanding pemain Korea yang lain. Dia memulakan karier di luar Korea atau lebih tepat lagi, di pasukan belia Hamburg di Jerman.

Son berjaya melonjakkan diri ke pasukan utama Hamburg sebelum Bayer Leverkusen mengetuk pintu hati pemain ini untuk berpindah ke kelab tersebut. Bersama Leverkusen, Son telah beraksi di pentas Liga Juara-juara dan kelincahannya terus menarik minat kelab-kelab besar yang lain.

Pada tahun 2015, Tottenham Hotspur berbelanja besar untuk membawa Cristiano Ronaldo Korea ini ke White Hart Lane.

https://www.youtube.com/watch?v=ZwKw4_idZjM

Son mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan liga Inggeris dan akhirnya dia muncul sebagai watak utama dalam menaikkan Spurs kebelakangan ini. Son pernah memenangi anugerah pemain terbaik bulanan sebanyak dua kali, di samping menjaringkan gol-gol penting buat pasukan London tersebut.

Ternyata Spurs membuat pelaburan berbaloi di atas padang dan juga pemasaran Asia Timur.

Sumber : FourFourTwo




Paparkan Komen